Nenek 85 tahun hadir berkerusi roda tengok satu daripada 16 cucu terima ijazah

LocalFamily & Parenting
27 Nov 2025 • 10:17 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

GEORGE TOWN – Momen penuh emosi menyelubungi Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini apabila seorang warga emas, Lau Ah Zhu, 85, hadir berkerusi roda demi menyaksikan cucunya menerima skrol ijazah.

Walaupun uzur dan bergerak perlahan, Lau tetap bertegas mahu berada di dewan sebagai tanda sokongan kepada cucunya, yang juga merupakan salah seorang daripada 16 cucu beliau.

“Saya cuma mahu tengok dia berjalan atas pentas. Itu sudah cukup buat hati saya gembira,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran seorang ibu saudara kepada graduan berkenaan yang membawa sejambak bunga kait buatan tangan dihasilkan khusus sebagai hadiah istimewa.

Menurutnya, bunga tersebut bukan untuk jualan, sebaliknya dibuat hanya sebagai tanda kasih buat anak saudara yang diraikan.

“Saya tak meniaga, saya buat yang besar dan cantik hanya untuk keluarga. Ini cara saya tunjuk bangga,” katanya sambil menunjukkan hasil seni unik itu.

Bagi keluarga besar Lau, hari ini bukan sekadar satu majlis konvokesyen, tetapi simbol pengorbanan, kasih sayang dan sokongan berpanjangan.

“Datang jauh-jauh, walaupun berkerusi roda… tapi saya mahu dia tahu kami bangga. Belajar bukan senang,” ujar Lau lagi.