Nenek, cucu saudara tiga tahun maut kemalangan

7 Apr 2026 • 2:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Motosikal yang dinaiki penunggang dan pembonceng yang maut dalam kemalangan di Jalan Padang Sanai. FOTO POLIS
image is not available
Keadaan MPV selepas terlibat kemalangan. FOTO POLIS

PADANG TERAP – Seorang nenek berusia 76 tahun dan cucu saudaranya berusia tiga tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Padang Sanai, berhampiran Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang di sini pada pagi Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Affzanisham Mohammad Sham berkata, kejadian berlaku pada jam 6.45 pagi.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Che Rahmah Abdul Karim dan Auni Afiqah Hadi yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa kenderaan MPV dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya, Padang Sanai.

**media[3484132]**

"Apabila tibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah motosikal ditunggang warga emas dan dibonceng dua cucu saudara berusia 3 tahun dan 8 tahun dari arah bertentangan dipercayai hendak memotong sebuah kereta lain yang berada di hadapan.

"Bagaimanapun motosikal itu telah memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan dari arah hadapan gagal mengelak lalu bertembung," katanya pada Selasa.

Jelas Affzanisham, akibat kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng hadapan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng belakang motosikal dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan.

Menurutnya, pemandu MPV itu yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tujuan bedah siasat," ujarnya.