Nenek, cucu sesat di Bukit Buluh Telur ditemukan selamat

17 Jun 2024 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang nenak dan cucu perempuan ditemukan selamat setelah tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Ahad.Foto: JBPM.

image is not available
Pasukan operasi SAR yang digerakkan JBPM bagi mencari nenek dan cucu berjaya menemukan dua ahli keluarga itu pada Isnin. Foto: JBPM.

HULU SELANGOR - Seorang nenek dan cucu perempuannya yang dipercayai sesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini ditemukan selamat oleh pihak bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, warga emas wanita berusia 62 tahun bersama cucu perempuannya berusia 12 tahun dipercayai tersesat ketika mahu ke kebun durian mereka pada Ahad.

Beliau berkata, kedua-duanya ditemukan pasukan penyelamat JBPM pada jam 9.30 pagi ini, kira-kira sejam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada Isnin.

"Operasi SAR yang dilaksanakan bagi mencari dua sekeluarga itu disambung jam 8 pagi ini.

"Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan dalam operasi ini, selain dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk Orang Asli.

**media[2692535]**

"Berdasarkan maklumat waris, lokasi mangsa berjaya dikesan melalui panggilan telefon, kira-kira satu jam daripada 'check point' pertama, iaitu penghujung laluan motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

JBPM Selangor pada Ahad menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 3.12 petang, sebelum sepasukan lapan anggota dari BBP Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.

Bagaimanapun operasi SAR pada Ahad itu ditangguhkan jam 7.20 malam, sebelum disambung pagi ini.

Menurut laporan awal, nenek dan cucunya itu dipercayai ke kebun durian mereka, sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad memaklumkan mereka sesat.

Anak wanita itu kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya jam 3 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!