Nenek dibunuh dalam kejadian pecah rumah, Farhan Asri mohon bantu kesan suspek

Entertainment
5 Oct 2022 • 5:53 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PELAKON Farhan Asri yang baharu sahaja kehilangan nenek tersayang pada 22 September lalu mendedahkan kematian wanita itu adalah berpunca daripada pergelutan dalam kejadian pecah masuk rumah.

Pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu turut berkongsi kenyataan media Ketua Polis Negeri Sembilan berhubung kes tersebut yang mana pihak polis telah menemui mayat seorang wanita berketurunan Melayu dalam lingkungan umur 70-an di Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Mayat neneknya ditemui dengan beberapa kesan kecederaan pada anggota badan manakala beberapa barangan peribadinya lesap termasuk barang kemas.

image is not available

Pihak polis sedang mengesan suspek lelaki berbangsa Melayu berusia 45 tahun yang dikenali sebagai Mohd Faizul Bin Mohamad Ali Kamil.

Dalam pada itu, Farhan turut meminta ‘follower’ di Instagram membantunya menjejaki lelaki berkenaan.

“Minta jasa baik semua tolong Farhan panjangkan perkara ini. Saya cuma nak keadilan buat mak (nenek) tercinta.

“Jika ada info boleh direct message (DM) Farhan sendiri,” titipnya di Instagram.

Sinar Harian pada 26 September lalu melaporkan lelaki berkenaan dipercayai individu terakhir yang datang ke rumah wanita itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kehilangan dan kegagalan menghubungi lelaki itu sehingga kini telah menimbulkan persoalan.

image is not available

“Polis meminta individu bernama Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, dengan alamat terakhir di Kampung Berkat Chembong, Rembau untuk tampil bagi membantu siasatan,”katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan hukuman gantung sampai mati.

Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta untuk menghubungi Pegawai penyiasat kes ASP Fauzan Azima di talian 019-7918695 atau 06-7682339. Anda juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Seremban di talian 06-6014999 atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Rakan artis dan peminat turut menitipkan doa buat Farhan sekeluarga serta berharap suspek tersebut ditemui segera.

-“Allahu Paan, semoga Allah permudahkan semuanya buat keluarga Paan. Salam takziah. Stay strong!” -@puteriaishahofficial

-“Semoga dipermudahkan segala urusan Farhan sekeluarga.”

-“Stay strong Farhan, al-Fatihah.”

Sumber: Instagram @farhanasrii, Sinar Harian