
SHAH ALAM – Usia bukan penghalang buat seorang nenek empat cucu apabila berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan sempena Istiadat Konvokesyen ke-103 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, graduan berusia 73 tahun, Dr. Rafiah Kassim, menamatkan tesis bertajuk “Pendekatan guru prasekolah Malaysia bagi memupuk kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak prasekolah untuk kesediaan bersekolah” dalam tempoh hanya tiga tahun.
Menurut Rafiah, keinginan mengekalkan minda aktif serta terus berpengetahuan dalam pelajaran dan agama menjadi pendorong utama untuk beliau menggali ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.
“Kita tidak boleh membiarkan minda pasif. Belajar tidak mengenal usia. Saya memang berminat menyambung pengajian ketika muda, namun ketika itu banyak cabaran. Tumpuan saya ketika itu lebih kepada mengurus sebuah prasekolah di Bangsar selama 27 tahun,” katanya ketika ditemui pada istiadat tersebut.
Rafiah merupakan antara 193 individu yang menerima PhD daripada Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, di Dewan Agung Tuanku Canselor.
Ibu kepada tiga juruterbang komersial itu berkata, pengajiannya di peringkat doktor falsafah adalah demi kepuasan diri untuk menjadi insan yang lengkap dari sudut ilmu. Beliau turut berharap dapat menyumbang kembali kepada UiTM sebagai alumni universiti itu.
Rafiah turut berkongsi pengalaman mengendalikan prasekolah di Bangsar yang menempatkan murid dari pelbagai negara.
“Pada awalnya hanya enam murid, kemudian berkembang sehingga 70 orang. Bila jumlah meningkat, kita jangan terlalu fokus keuntungan. Semua orang sukakan wang, tetapi keikhlasan lebih penting,” jelasnya yang menutup operasi prasekolah berkenaan dua tahun lalu.
Menyentuh isu disiplin kanak-kanak, Rafiah menekankan kepentingan memahami punca kesalahan sebelum tindakan diambil.
“Kalau kita menghukum ketika marah, kita sendiri tidak tahu kekuatan rotan kita. Cuma ibu bapa jangan lupa ajar anak-anak menghormati orang lain. Kita semua sama tanpa mengira kaya atau miskin, warna kulit atau agama,” katanya.

![[VIDEO] Nenek terus gagah kemudi bot pelancong](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)
