Nestlé Malaysia berjaya kurangkan emisi gas rumah hijau 31 peratus

Business & Finance
3 Aug 2026 • 4:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nestlé Malaysia berjaya kurangkan emisi gas rumah hijau 31 peratus

PETALING JAYA: Nestlé Malaysia berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 31 peratus berbanding paras asas 2018, sekali gus melepasi sasaran interim pengurangan 20 peratus yang ditetapkan bagi 2025.

Pencapaian itu memperkukuh komitmen syarikat ke arah mencapai Emisi Bersih Sifar menjelang 2050 melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kelestarian merangkumi operasi, rantaian bekalan dan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam memperluaskan penggunaan tenaga elektrik boleh diperbaharui 100 peratus di semua operasinya di Malaysia, meningkatkan kecekapan pembuatan, memperkukuh amalan pertanian regeneratif, pemerolehan bahan mentah secara lestari serta mempertingkat inovasi pembungkusan.

“Pengurangan emisi GHG sebanyak 31 peratus merupakan satu pencapaian penting hasil komitmen pasukan dan rakan kerjasama kami. Walaupun berbangga dengan kemajuan ini, kami sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran Emisi Bersih Sifar.

“Kelestarian merupakan teras kepada penciptaan nilai bersama syarikat, daripada penggunaan tenaga, sumber bahan mentah, pembungkusan, pemuliharaan ekosistem sehingga kepada pembangunan komuniti. 

“Seiring pertumbuhan kami di Malaysia sejak 1912, kami akan terus melabur dan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengurangkan impak alam sekitar serta menyokong pembangunan mampan negara,” katanya pada majlis Nestlé: Sustainability Connected di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dalam pada itu, Juan berkata, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dalam operasi di Malaysia turut membantu usaha penyahkarbonan, dengan kemudahan seperti tarif elektrik hijau dan sijil tenaga boleh diperbaharui menyokong peralihan berkenaan.

Katanya, usaha itu adalah perjalanan jangka panjang yang memerlukan pelaburan berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk mengurangkan penggunaan air dan tenaga bagi setiap unit produk yang dihasilkan.

Sementara itu, menjawab mengenai impak konflik di Asia Barat terhadap operasi Nestle Malaysia, Aranols berkata rantaian bekalan syarikat setakat ini mampu menyesuaikan diri dengan gangguan yang berlaku dan memastikan kesinambungan bekalan kepada pasaran tempatan.

Katanya, syarikat tidak mengalami kekurangan bahan mentah bagi operasi pembuatan setakat ini, hasil pelaksanaan pelan kesinambungan perniagaan yang membolehkan sumber alternatif diaktifkan sekiranya berlaku masalah dengan pembekal tertentu.

“Kami sudah bertahun-tahun melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan, jika berlaku masalah dengan pembekal A, kami mempunyai alternatif untuk beralih dengan cepat kepada pembekal B atau C.

“Jadi, kami bersedia untuk menghadapi pelbagai senario bagi memastikan kesinambungan bekalan kepada pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pelaksanaan agenda kelestarian akan meningkatkan kos dan menekan margin keuntungan syarikat, Juan berkata usaha itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko jangka panjang.

Katanya, pelaburan dalam rantaian bekalan lebih berdaya tahan dan operasi yang lebih cekap dapat mengurangkan profil risiko syarikat bagi memastikan produk terus dapat dibekalkan kepada pengguna dalam pelbagai keadaan.

Mengenai jumlah pelaburan khusus bagi mencapai sasaran Emisi Bersih Sifar menjelang 2050, beliau berkata Nestle tidak menetapkan satu angka khusus kerana usaha itu membabitkan pelaburan berterusan bukan sahaja di kilang, malah bersama pembekal serta rantaian komoditi global.

Beliau memberi contoh penggunaan straw kertas menggantikan straw plastik yang pada peringkat awal boleh menelan kos lebih tinggi berikutan bekalan yang masih terhad, namun kos dijangka berkurangan apabila skala penggunaan meningkat dan lebih banyak pembekal memasuki pasaran.

Pada masa sama, beliau berkata, Nestle Malaysia tidak merancang kenaikan harga produk bagi baki tahun ini dengan syarikat mengambil kira tekanan terhadap kuasa beli keluarga Malaysia.

“Bagi kami, penetapan harga adalah langkah terakhir kerana kami mengambil berat mengenai impaknya terhadap kuasa beli keluarga Malaysia.

“Kami baru-baru ini menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak merancang kenaikan harga bagi baki tahun ini dan perkara itu kekal,” katanya. – UTUSAN

The post Nestlé Malaysia berjaya kurangkan emisi gas rumah hijau 31 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved