

Hozon Auto, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China yang juga pemilik jenama Neta Auto, kini berdepan cabaran kewangan yang kian meruncing. Laporan terkini menunjukkan penurunan jualan, pengurangan pengeluaran serta pemberhentian pekerja di kilang Zhejiang, China.
Menurut laporan dari Nation Thailand, cabaran kewangan turut melanda Neta Auto Thailand. Dalam usaha penstrukturan semula, syarikat itu merancang untuk mengurangkan 400 pekerja di pejabat korporat dan kilang pemasangan Bangchan di Bangkok.
Penurunan Jualan yang Ketara

Dalam tempoh 11 bulan pertama 2024, penghantaran EV Neta menurun sebanyak 45.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Syarikat hanya berjaya menghantar sejumlah 6,534 unit EV sepanjang tempoh tersebut.

Kerugian bersih THB1.8 bilion (~RM237 juta) dicatatkan pada tahun 2023, berbanding keuntungan THB81 juta (~RM11 juta) pada tahun 2022. Walaupun sejak ditubuhkan pada 2019 Hozon Auto telah menghasilkan pendapatan sebanyak THB7.78 bilion (~RM1.03 bilion), jumlah kerugian keseluruhan syarikat kini mencecah THB1.72 bilion (~RM226.5 juta).
Persoalan Masa Depan Neta Di Malaysia
Krisis kewangan yang dihadapi Neta turut menimbulkan persoalan tentang masa depannya di Malaysia. Menerusi kerjasama dengan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), Neta sedang membangunkan fasiliti pengeluaran di Rembau, Negeri Sembilan, dengan kapasiti tahunan yang dijangka mencapai 30,000 unit. Namun, adakah rancangan ini akan diteruskan?
Isu Penilaian Keselamatan ASEAN NCAP
Tambahan pula, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dari syarikat berhubung keputusan ASEAN NCAP yang merisaukan baru-baru ini, di mana model Neta V hanya memperoleh penarafan sifar bintang.



