Neta Malaysia Umum Penstrukturan Semula, Jamin Servis dan Waranti Tak Terjejas

LocalBusiness & Finance
6 Jun 2025 • 11:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Pengedar eksklusif kenderaan jenama Neta di Malaysia, Intro Synergy Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini melibatkan syarikat induknya dari China, Hozon Auto.

Penstrukturan Semula

Menurut kenyataan itu, Hozon Auto kini sedang melakukan proses penstrukturan kewangan serta penyusunan semula organisasi dalaman. Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan kelangsungan jangka panjang syarikat dalam industri kenderaan elektrik (EV) yang semakin kompetitif.

Jualan Terus kepada Pengguna

image is not available

Seiring perkembangan tersebut, Intro Synergy memaklumkan ia turut melakukan perubahan operasi di Malaysia. Salah satu perubahan utama ialah peralihan kepada model jualan terus kepada pengguna atau Direct-to-Consumer (D2C), mirip pendekatan yang diguna pakai oleh Tesla.

Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyesuaikan pengalaman pengguna dengan trend global dalam pasaran EV.

Servis dan Sokongan Selepas Jualan

Walaupun Neta kini dalam fasa peralihan strategi, syarikat memberi jaminan bahawa semua pusat servis Neta di seluruh negara akan kekal beroperasi seperti biasa. Perkhidmatan selepas jualan, jaminan, serta bekalan alat ganti tidak akan terjejas. Setakat ini, terdapat 16 wakil pengedar Neta beroperasi di seluruh Malaysia.

Tempahan dalam Talian

image is not available

Namun begitu, semakan mendapati pelaksanaan model D2C masih belum sepenuhnya selari dengan infrastruktur digital Neta Malaysia. Laman web rasmi syarikat masih belum membolehkan tempahan dalam talian, ikon "Booking" hanya mengarahkan pengguna ke senarai pengedar fizikal.

Jaminan Alat Ganti & Pilihan Pembelian Semula

Intro Synergy turut menyatakan bahawa mereka telah menyediakan pelan kontingensi bagi menjamin ketersediaan alat ganti sepanjang kitaran hayat kenderaan. Malah, sekiranya berlaku kekangan terhadap alat ganti tertentu, syarikat sedia menawarkan pilihan pembelian semula (buyback) mengikut syarat yang ditetapkan.

Status Model CKD Masih Tergantung

Di sebalik perubahan operasi yang didedahkan ini, beberapa persoalan masih belum terjawab. Antaranya, status pelancaran model pemasangan tempatan (CKD) yang dijanjikan akan ditawarkan seawal suku pertama 2025, yang mana setakat ini tiada perkembangan lanjut diumumkan.

Isu Penarafan Keselamatan

image is not available

Turut membimbangkan ialah penarafan keselamatan ASEAN NCAP terhadap model Neta V yang mencatatkan 0 bintang seperti diumumkan pada Disember 2024 lalu. Sehingga kini, Neta Auto Malaysia masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara ini, menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang mementingkan aspek keselamatan.

Prestasi Jualan Masih Rendah

image is not available

Dalam suku pertama 2025, Neta Auto Malaysia hanya merekodkan 50 unit jualan, dengan 37 daripadanya terdiri daripada model Neta V. Walaupun angka ini kelihatan rendah, ia masih dalam jangkaan bagi jenama EV baharu yang sedang mencari tapak di pasaran Malaysia.