
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu (gambar) telah dibenarkan keluar dari hospital selepas pembedahan jantung – beberapa jam sebelum pengundian di Parlimen berlangsung mengenai rombakan kehakiman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemimpin berusia 73 tahun itu telah meninggalkan Klinik Sheba berhampiran Tel Aviv, kata jurucakap kerajaan. Perentak jantung telah dipasang pada tubuhnya pada hujung minggu.
Pembedahan Netanyahu dilakukan menjelang undian untuk merombak semula sistem kehakiman Isreal, yang dijadual berlangsung pada Isnin di Parlimen Israel di Baitulmaqdis.
Semasa di hospital, Netanyahu bertemu dengan ketua pembangkang Yair Lapid sebagai sebahagian daripada usaha Presiden Isaac Herzog untuk mencapai kesepakatan saat akhir menjelang pengundian. -Bernama


