
Netflix merupakan platform penstriman yang membolehkan penonton menonton rancangan TV dan filem kegemaran pada peranti yang disambungkan dengan Internet.
Mula ditubuhkan pada Ogos 1997 di Amerika Syarikat, Netflix pada awalnya hanya menyediakan perkhidmatan yang membolehkan penonton melanggan filem atau cerita melalui laman web dan Netflix akan menghantar DVD kepada pelanggan tersebut.
Namun, seiiring dengan peredaran zaman, Netflix kini merupakan antara platform penstriman yang paling popular di dunia.
Caj Tambahan Jika Kongsi Kata Laluan Dengan Pengguna Di Kediaman Berbeza
Netflix pada hari ini (24 Mei) secara rasminya mengumumkan caj tambahan sebanyak RM13 ke atas pelanggan Netflix di Malaysia yang berkongsi kata laluan dengan pengguna yang tinggal di kediaman berbeza.
Namun, bagi isi rumah yang tinggal di kediaman yang sama, tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan.
Netflix sebelum ini telah pun menetapkan peraturan berhubung perkongsian kata laluan kepada pengguna di luar kediaman di beberapa negara seperti di Amerika Latin.
Kini, peraturan itu diperluaskan kepada lebih 100 buah negara seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Amerika Syarikat.
Pengguna Tambahan Nikmati Kualiti Video Yang Sama
Untuk info, slot pengguna tambahan adalah berbeza kerana ia bergantung kepada pakej yang dilanggan.
Secara ringkasnya bagi kemaskini terbaharu ini, Netflix memberikan :
- Pakej Standard – Satu slot tambahan untuk mereka yang tidak tinggal serumah
- Pakej Premium – Dua slot tambahan untuk mereka yang tidak tinggal serumah.

Harga RM13 bagi setiap slot tambahan hanya akan dicaj kepada pemilik akaun asal. Namun, kemudahan ini hanya boleh dinikmati oleh pengguna yang membuat pembayaran terus kepada Netflix berbanding penyedia pihak ketiga seperti Astro.

Pengguna yang menggunakan slot tambahan ini turut akan mendapat keistimewaan dan kualiti yang sama seperti pemilik akaun asal, misalnya seperti penggunaan profil sendiri.

Namun pengguna slot tambahan tidak boleh memilih profil Kid dan hanya boleh menonton menggunakan satu peranti pada satu masa sahaja.
Tambah lagi, akaun pengguna slot tambahan ini juga hanya boleh diaktifkan dalam negara yang sama dengan pemilik akaun.

Terdahulu, Netflix telah mengesan lebih 100 juta buah rumah berkongsi akaun sehingga memberi kesan terhadap keupayaannya untuk membuat pelaburan bagi menghasilkan kandungan baharu.
Baca Artikel Berkaitan: Netflix Turun Harga Basic Plan Daripada RM35 Kepada RM28
Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Astro Kini Boleh Menstrim Netflix Menggunakan Ultra Box
Source:




