Netflix kini boleh ditonton di Unifi TV mulai 23 Jun 2023
zulfadli
22/06/2023 - 16:29
KUALA LUMPUR 22 Jun - Unifi mengumumkan kerjasama baharu dengan salah satu perkhidmatan hiburan terkemuka dunia, Netflix untuk memberi rakyat Malaysia akses hiburan yang mesti ditonton dan nilai tambahan melalui tawaran kandungan premium Unifi TV.
Bermula 23 Jun 2023, pelanggan Unifi akan mendapat akses kepada himpunan koleksi filem Netflix seperti Extraction 2, dibintangi oleh Chris Hemsworth, Heart of Stone lakonan Gal Gadot dan filem-filem blockbuster seperti Red Notice dan Glass Onion: A Knives Out Mystery.
Pelanggan juga boleh menikmati siri TV popular termasuk Wednesday, The Witcher, Black Mirror dan drama Korea seperti The Glory dan Black Knight.
Ini termasuk promosi selama tiga bulan bermula 23 Jun yang mana para pelanggan boleh menambah Netflix kepada langganan sedia ada mereka dengan menaik taraf kepada Pek Ultimate Unifi TV yang baharu dengan harga yang istimewa.
Ketua Pegawai Komersial TM dan Naib Presiden Eksekutif Unifi, Anand Vijayan berkata, pihaknya teruja untuk membawa salah satu platform penstriman terbesar dan paling popular di dunia ke Unifi TV.
"Penambahan kepada perkhidmatan gaya hidup dan rumusan bersepadu ini adalah sebahagian daripada perancangan berterusan Unifi untuk 2023, sambil kami terus menawarkan penyelesaian yang terbaik dan berbaloi, kepada segenap lapisan masyarakat.
"Melalui Netflix, kami menawarkan pilihan hiburan tambahan yang popular dan pelbagai, dan untuk meraikan kerjasama ini, kami akan menawarkan antara pakej terbaik melalui langganan semua-dalam-satu Unifi.

"Promosi istimewa selama tiga bulan ini adalah cara kami berkongsi pencapaian terbaharu ini dengan para pelanggan kami, dengan Netflix membawa kami ke peringkat seterusnya dalam tawaran hiburan di dalam dan luar rumah," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Netflix Indonesia, Malaysia dan Thailand, Tizar Patria menzahirkan rasa gembira bekerjasama dengan Unifi TV yang akan memberikan lebih akses kepada filem dan rancangan yang mesti ditonton ramai rakyat Malaysia.
Kerjasama tersebut merupakan penambahan terbaharu tawaran Unifi TV sedia ada, yang meliputi 71 saluran premium dan 17 rakan aplikasi seperti Disney+ Hotstar, Viu, WeTV dan Lionsgate Play, yang mana membentuk pilihan aplikasi penstriman terbesar di Malaysia yang tersedia melalui satu platform.
Untuk melanggan, pelanggan Unifi boleh menambah Netflix kepada pelan baharu atau sedia ada di semua Unifi Store atau menghubungi 100 untuk pakej langganan pada harga promosi.
Ini termasuk tawaran masa terhad bagi pek TV premium terbaharu Unifi TV, Pek Ultimate Plus pada harga RM69.90 dan Pek Ultimate Max pada harga RM89.90, juga tambahan serendah RM9.90 untuk akses penuh kepada semua perkhidmatan Netflix kepada Pek Ultimate Unifi TV sepanjang tempoh promosi selama tiga bulan ini.
Pelanggan juga boleh menambah Netflix dengan langganan pakej jalur lebar Unifi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran Unifi TV dan Netflix ini, layari https://unifi.com.my/tv. - DagangNews.com



