Hujung minggu ini pasti ramai mencari kandungan yang boleh distrim menerusi perkhidmatan yang dilanggan. Secara lazimnya carian dilalukan berdasarkan genre, jenis kandungan dan siapakah pelakonnya. Tetapi ini kadang kurang membantu. Bloomberg melaporkan Netflix sudah mula menguji carian kandungan yang dikuasakan oleh OpenAI bagi memberikan saranan yang lebih baik kepada pelanggan.

Carian kini boleh dilakukan berdasarkan mood pelanggan atau pelbagai parameter lain yang sebelum ini tidak disokong oleh Netflix. Dengan ini penggunaan bahasa semula jadi boleh digunakan bagi mencari kandungan yang paling tepat untuk ditonton. Ketika ini carian dikuasakan OpenAI hanya diberikan kepada pengguna di Australia dan New Zealand dalam aplikasi iOS. Ia kemudian akan dikembangkan ke negara lain secara berperingkat.
Dalam dunia yang dipenuhi jutaan konten, memang diakui sukar untuk mencari kandungan yang ingin ditonton. Kadang kala langganan penstriman terasa seperti membazir dengan yang ditawarkan tidak kena dengan citarasa. Dengan sistem carian lebih pintar, mungkin selepas ini tidak lagi berlaku insiden menatal kandungan di Netflix selama 10 minit tetapi kemudian aplikasi ditutup kerana tiada yang memikat hati.
