KEBERANIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan sokongan terhadap hak Iran mempertahankan kedaulatan negaranya menerima reaksi positif dalam kalangan netizen antarabangsa.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Be Patient berkata, 'Good Job Malaysia, I'm from Philippines and stand with Iran' (Terbaik Malaysia, saya dari Filipina dan saya juga berdiri bersama Iran)
Sementara itu, Ba Yusuf Tuja menyatakan, 'I love Malaysia' (Saya sayang Malaysia) manakala Mukhtar Magaji turut memuji dengan komen, 'Anwar the Best' (Terbaik Anwar).
Terdahulu, Anwar menegaskan sokongan Malaysia terhadap tuntutan sah Iran untuk menghentikan peperangan serta menghalang sebarang bentuk tindakan ketenteraan.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk inisiatif diplomatik oleh negara-negara Islam bagi memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.
Dalam perbualan dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, selain nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak.
Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.
“Pada masa sama, Malaysia menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.
“Malaysia turut mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding dengan syarat penamatan perang secara muktamad.
Menurutnya, pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulangi kitaran keganasa, seperti yang berlaku di Gaza dan Lebanon.
Justeru, beliau menegaskan bahawa usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti serta komitmen berpanjangan.
“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.
“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya.

