DALAM dunia media sosial yang cepat menghukum, sekali-sekala muncul kisah buat kita tarik nafas lega.
Baru-baru ini, tular perkongsian seorang ibu keputusan SPM anak perempuannya yang tidak begitu cemerlang. Tiada drama, tiada menyalahkan sesiapa hanya satu soalan ringkas: “Apa hala tuju terbaik untuk anak saya?”
Menariknya, ruangan komen bukan jadi medan kecaman, sebaliknya bertukar jadi 'kelas kaunseling terbuka'. Netizen tampil pelbagai cadangan antaranya TVET sama ada kolej komuniti, sijil kemahiran, malah ada yang berkongsi pengalaman bermula dari bawah hingga berjaya bina kerjaya stabil.
Nada mereka? Empati, bukan sindiran. Di sinilah kita nampak sisi indah masyarakat digital kita. Bila ego diketepikan, ruang maya boleh jadi tempat menyokong, bukan menjatuhkan.
Ibu tersebut pula wajar dipuji kerana berani bertanya, terbuka menerima pandangan, dan tidak malu kerana Merak Jalanan pasti dia hanya mahu anaknya masih ada peluang terus menimba ilmu.
Itu sendiri satu pendidikan buat anaknya: hidup bukan tentang sentiasa berada di atas, tapi bagaimana bangkit bila tak seperti dirancang.
Hakikatnya, SPM bukan penamat sebaliknya satu persimpangan awal. Laluan selepas itu luas kerana ada yang terus ke universiti, ada yang pilih kemahiran, ada juga yang slow but steady membina diri.
Yang penting, anak itu terus bergerak, bukan berhenti.Kita mungkin tak mampu ubah keputusan semalam, tapi kita sentiasa ada pilihan untuk esok. Dan kadang-kadang, sokongan orang asing di internet pun cukup untuk nyalakan semula harapan.
Moralnya? Kurangkan menghukum, lebihkan membantu. Dunia dah cukup keras, jangan kita tambah lagi.
