NETR diyakini mampu bawa Malaysia ke arah agenda kemampanan lebih tinggi - Maybank IB
azan
31/07/2023 - 16:00
KUALA LUMPUR 31 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan membawa Malaysia ke arah agenda kemampanan yang lebih tinggi.
Firma itu berkata, NETR menyediakan menyediakan naratif yang jelas dan laluan praktikal ke arah memacu fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya dan agenda kemampanan jangka panjang negara, terutamanya komitmen Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
"Pemikiran transformatif yang menyokong NETR mengukuhkan cita-cita dalam rangka kerja Ekonomi Madani yang menekankan manfaat kekuatan sedia ada negara untuk menjadi peneraju ekonomi Asia, dengan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan berdaya saing dan bertaraf dunia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, NETR Fasa 1 mengandungi 10 inisiatif utama yang mempunyai jumlah nilai pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050 dan dijangka menawarkan 23,000 pekerjaan berimpak tinggi.
Katanya, projek utama zon tenaga boleh baharu bersepadu berskala besar 1 gigawatt (GW), dikuasakan oleh solar, oleh usaha sama UEM-Intramas.
Projek ini akan menjadi yang terbesar di Asean dan telah menarik pelaburan asing RM6 bilion setakat ini, menurutnya.
"NETR akan turut membuka gerbang hidrogen di Sarawak selain menyediakan rangka kerja berkaitan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCS), meletakkan asas untuk pembangunan pemacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baharu yang bernilai tambah tinggi," katanya.
Firma itu itu positif terhadap prospek pasaran ekuiti bagi separuh kedua 2023.
"Seperti yang diperincikan dalam laporan sebelum ini, kami optimis dengan daya tarikan pasaran yang lebih baik sepanjang separuh kedua tahun ini walaupun pendapatan dijangka masih bercampur-campur," katanya. - DagangNews.com



