NETR: Pelaburan besar, mandat kerajaan diperlukan bagi menyokong pelan peralihan tenaga
diyana
05/09/2023 - 11:23
KUALA LUMPUR 5 Sept - Walaupun Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dilihat sebagai langkah positif untuk masa depan rendah karbon Malaysia, OCBC Treasury Research berpendapat bahawa pelaburan yang lebih besar dan mandat kerajaan diperlukan untuk menyokong keupayaan dan infrastruktur diperlukan untuk projek peralihan tenaga.
Penganalisis alam sekitar, sosial dan tadbir urus OCBC, Ong Shu Yi menekankan pendekatan ini bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor dengan memanfaatkan dasar peralihan tenaga digariskan dalam NETR, yang merangkumi kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, serta penangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS).
“NETR adalah langkah yang baik ke arah menetapkan hala tuju peralihan karbon rendah Malaysia dan boleh merangsang pertumbuhan keupayaan teknikal dan penciptaan pekerjaan selanjutnya dalam ekonomi hijau Malaysia.
"Ia juga memperkukuh keselamatan tenaga negara, serta memberi isyarat kepada negara lain peluang dan bidang berpotensi untuk kerjasama seperti CCUS dan hidrogen," katanya dalam satu laporan.
Bagaimanapun, Shu Yi menyatakan bahawa seperti kebanyakan negara di seluruh dunia, peralihan ke arah masa depan rendah karbon bakal mencabar bagi Malaysia dan antara cabaran utama adalah kebergantungan Malaysia terhadap arang batu untuk penjanaan kuasa memandangkan ia merupakan sumber tenaga yang lebih murah.
Beliau menekankan kepentingan memperkembangkan sumber tenaga bersih secara agresif, seperti tenaga boleh diperbaharui dan membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi memudahkan peralihan daripada arang batu.
“Walaupun Malaysia komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dasar iklim sedia ada berpecah-belah, dan perundangan berkaitan iklim sedang dijalankan. Negara-negara Asia Tenggara lain telah pun melaksanakan undang-undang berkaitan iklim seperti Akta Harga Karbon Singapura dan Undang-undang No 32/2009 di Indonesia berhubung Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar,” ujar beliau.
Degan Malaysia kini dalam proses merangka Rang Undang-undang Perubahan Iklim kebangsaannya, Syu Yi berkata kelulusan undang-undang ini akan menjadi penting untuk membolehkan tindakan iklim yang dimandatkan.
Sementara itu, aspek kewangan amat membimbangkan, di mana menurut anggaran NETR, Malaysia dijangka memerlukan pelaburan antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang 2050.
"Dalam dekad ini, 18% pembiayaan diperlukan terutamanya dalam penjanaan kuasa tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau, contohnya, pengukuhan infrastruktur grid dan kapasiti pengeluaran kenderaan elektrik domestik," tambahnya.
Menurut laporan itu, sektor tenaga membentuk 78.5% daripada pelepasan gas rumah hijau tahunan Malaysia, menunjukkan potensi besar untuk pengurangan pelepasan dalam sektor ini melalui tuil peralihan tenaga.
Tambahan pula, ketika dunia bergerak ke arah menerima pakai dasar dan peraturan rendah karbon, Ong percaya perkembangan global ini boleh menggalakkan negara seperti Malaysia untuk mempercepatkan usaha ke arah penyahkarbonan. - DagangNews.com


