johardy25/11/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - NexG Bina Berhad memperoleh semula akses kepada dana dalam beberapa akaun banknya selepas akaun berkenaan dibekukan selama kira-kira setahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, kumpulan hartanah, pembinaan dan pengeluar pakaian dalam wanita itu berkata pihak berkuasa telah menarik balik sekatan ke atas akaun tertentu yang dibekukan berhubung siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
NexG Bina tidak menyatakan jumlah dana yang boleh diakses semula, sama ada keputusan itu meliputi kesemua 16 akaun yang dibekukan sebelum ini atau sama ada siasatan sudah selesai.
Polis membekukan 16 akaun RHB Bank milik NexG Bina, yang dahulunya dikenali sebagai Classita Holdings Berhad, dan anak syarikatnya sejak pertengahan November 2025. Syarikat itu berkata ia menyedari sekatan tersebut apabila beberapa bayaran operasi tidak dapat dibuat.
Lembaga pengarah dimaklumkan mengenai pembekuan itu pada Februari, manakala syarikat mengumumkannya kepada umum pada 10 Mac.
Kumpulan itu melaporkan operasinya belum terjejas ketika mesyuarat lembaga pada Februari, namun kemudian memberi amaran bahawa sekatan berpanjangan boleh menjejaskan keupayaannya memenuhi obligasi kontrak dan meneruskan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
MMAG turut lapor sekatan ditarik balik
Sepanjang tempoh sekatan itu, NexG Bina bergantung pada kutipan daripada bahagian pembuatan untuk menampung kos tetap dan overhed kilang. Ia turut mengemukakan beberapa rayuan bertulis supaya pembekuan ditarik balik atau akses bersyarat kepada dana dibenarkan.
Pada 11 Nov, kumpulan logistik MMAG Holdings Berhad turut mengumumkan bahawa pihak berkuasa telah menarik balik sekatan yang dikenakan di bawah AMLA ke atas beberapa akaun bank milik syarikat itu dan anak syarikatnya.
Datasonic Group Berhad, dahulunya NexG Berhad, ialah pemegang saham utama dalam kedua-dua syarikat. Pembekuan akaun itu didedahkan pada Mac ketika berlaku pertikaian dalam lembaga pengarah NexG, yang ketika itu menggantung kuasa eksekutif pengasasnya, Datuk Abu Hanifah Noordin, sambil menyemak pelaburannya dalam syarikat tersenarai.
NexG Bina sebelum ini berkata lembaga pengarahnya tidak mengetahui sebarang salah laku dan syarikat itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang penemuan khusus atau butiran berkaitan dakwaan ketidakpatuhan atau pengubahan wang haram.
Kumpulan yang sekian lama mengeluarkan dan menjual pakaian dalam wanita itu berusaha mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan selepas NexG muncul sebagai pemegang saham terbesarnya pada 2025.
Pada September lalu, NexG Bina membatalkan cadangan menjual pegangan 49% dalam dua anak syarikat pengeluar pakaian dalam wanita pada harga RM34.1 juta kerana rundingan tidak menunjukkan kemajuan ketara. Hasil jualan itu dirancang untuk membiayai projek hartanahnya. — DagangNews.com






