NexG pertahan diri, dakwaan ahli akademik disifatkan tidak tepat dan mengelirukan

LocalPolitics
5 May 2026 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NexG pertahan diri, dakwaan ahli akademik disifatkan tidak tepat dan mengelirukan Image from: NexG pertahan diri, dakwaan ahli akademik disifatkan tidak tepat dan mengelirukan johardy05/05/2026 - 17:44 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Mei - NexG Berhad menyifatkan dakwaan dua ahli akademik Barjoyai Bardai dan Ahmed Razman Abdul Latiff terhadap syarikat itu mencerminkan `kefahaman yang tidak lengkap' dan `tidak tepat' mengenai cara sebuah syarikat tersenarai awam beroperasi dalam persekitaran yang dikawal selia.

 

Pengerusi Eksekutif, Ishak Ismail berkata, syarikat menghormati peranan ahli akademik dalam menyumbang kepada wacana awam.

 

Namun kata beliau, ulasan mengenai industri yang dikawal selia dan syarikat tersenarai awam perlu berasaskan pemahaman jelas terhadap rangka kerja perundangan dan kawal selia yang terpakai.

 

"NexG bertanggungjawab sepenuhnya kepada pemegang saham dan pengawal selia. Semua tindakan kami tertakluk kepada pematuhan ketat, pendedahan serta kelulusan apabila diperlukan.

 

“Gesaan untuk audit forensik atau penggantungan kontrak tanpa asas yang kukuh berisiko menimbulkan kekeliruan dan tidak mencerminkan bagaimana proses tersebut ditadbir.

 

“Syarikat hari ini dipimpin oleh Lembaga Pengarah baharu dengan mandat jelas untuk beroperasi berasaskan integriti, ketelusan dan disiplin.

 

"Isu lalu telah ditangani dan kami kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk bergerak ke hadapan. Kami kekal komited menyokong Kerajaan serta melindungi kepentingan negara dengan standard profesionalisme tertinggi.”

 

NexG mengakui bahawa isu lalu, termasuk yang dikaitkan dengan Victor Chin, telah dilaporkan secara terbuka sebelum ini, kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

 

Kenyataan tersebut merujuk kepada beberapa artikel yang diterbitkan oleh Astro Awani, termasuk “Skandal NexG: Abu Hanifah Noordin perlu beri maklumat penuh – ahli akademik” dan “Kerajaan wajar gantung, semak semula kontrak NexG – pakar ekonomi”.

 

Syarikat mengambil maklum bahawa pandangan yang dikaitkan dengan Barjoyai Bardai dan Ahmed Razman Abdul Latiff telah menimbulkan kebimbangan berhubung operasi, tadbir urus serta kontrak kerajaan NexG.

 

Pematuhan kepada rangka kerja kawal selia

NexG beroperasi sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada pemegang sahamnya; pihak berkuasa kawal selia dan peraturan keperluan penyenaraian serta obligasi pendedahan yang ketat.

 

Semua urus niaga korporat, termasuk pengambilalihan dan keputusan strategik, telah diumumkan selaras dengan keperluan Bursa Malaysia; tertakluk kepada semakan kawal selia yang sewajarnya dan mendapat kelulusan pemegang saham apabila diperlukan.

 

"Sebarang dakwaan bahawa proses ini diketepikan adalah tidak tepat dari segi fakta," kata NexG.

 

Respons terhadap gesaan audit forensik dan penggantungan kontrak

Syarikat turut mengambil maklum gesaan oleh pihak akademik berkenaan untuk melaksanakan audit forensik dan menggantung kontrak kerajaan.

 

NexG menjelaskan bahawa: "langkah sedemikian merupakan intervensi kawal selia yang serius dan tidak dilaksanakan sewenang-wenangnya".

 

"Ia memerlukan bukti kukuh salah laku, bukannya andaian atau spekulasi awam, malah cadangan tanpa asas menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap proses kawal selia, perundangan dan kontrak yang sedia ada

 

"Syarikat menasihatkan agar cadangan yang bersifat pramatang atau tidak berasaskan fakta dielakkan kerana ia berpotensi menimbulkan kebimbangan tidak perlu serta menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur negara," kata NexG lagi.

 

Penjelasan mengenai pelaporan kewangan

Berhubung rujukan kepada kerugian nilai saksama, NexG menegaskan bahawa: "Ia merupakan pelarasan perakaunan bukan tunai selaras dengan piawaian pelaporan kewangan dan ia tidak mewakili kerugian sebenar atau penyelewengan dana

 

"Sebarang tafsiran yang bercanggah adalah mengelirukan," kata syarikat itu.

 

NexG kekal teguh dalam komitmennya terhadap tadbir urus korporat yang kukuh, pematuhan kawal selia
integriti operasi dan menyokong infrastruktur keselamatan negara.

 

Syarikat menggesa semua pihak supaya merujuk kepada fakta yang disahkan dan pendedahan rasmi, serta mengemukakan pandangan awam secara berhemah dan bertanggungjawab. - DagangNews.com

Terkini featured standard