NexG rancang pelaburan RM250 juta bangunkan kemudahan pengeluaran dokumen identiti selamat

26/05/2025 - 17:16
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Mei - NexG Berhad merancang pelaburan kira-kira RM250 juta bagi pembangunan pengeluaran dokumen identiti selamat berasaskan industri 4.0 dan ia merupakan lonjakan besar dalam kapasiti pengeluaran dan ketepatan produk melalui proses automasi sepenuhnya.
Kumpulan itu berkata, pelaburan besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aktiviti penyelidikan & pembangunan (R&D) akan menyokong pendigitalan sistem pengeluaran sedia ada, dengan tumpuan kepada harta intelek dan rumusan berasaskan data bagi memenuhi keperluan dokumen keselamatan baharu.
Katanya, pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan pengoptimuman berterusan dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan melebihi 15 juta unit dokumen identiti selamat bagi setiap fasa.
"Kemudahan baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur keselamatan canggih dijangka mampu menjana pendapatan antara AS$100 juta hingga AS$200 juta bagi setiap fasa, bergantung kepada jenis dokumen atau rumusan, keperluan negara, skop projek dan tahap keselamatan dokumen yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut penyelidikan SkyQuest Technology, nilai pasaran tersebut mencecah AS$32.42 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$94.35 bilion menjelang 2032, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13.3%.

Pertumbuhan itu dipacu peningkatan perjalanan antarabangsa, keperluan keselamatan sempadan yang lebih tinggi, serta penggunaan sistem identiti berasaskan biometrik yang semakin meluas.
Pelaburan NexG meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk merebut peluang dalam pasaran pesat membangun ini — khususnya di ASEAN, Afrika dan pasaran sedang membangun lain.
"Setelah siap, kemudahan baharu itu dijangka menambah kapasiti pengeluaran NexG sebanyak 50 juta unit dokumen identiti selamat, sekali gus meningkatkan keupayaan Kumpulan memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap infrastruktur identiti selamat.
"Bagi merealisasikan hasrat ini, NexG telah menubuhkan sebuah anak syarikat milik penuh baharu, Datasonic Global Technologies Sdn Bhd (DGT), yang akan memacu usaha pengkomersialan antarabangsa serta membentuk kerjasama strategik dengan kerajaan, integrator sistem dan pihak berkepentingan utama," kata kumpulan itu.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, ia merupakan lagkah penting untuk kumpulan dan dengan mengukuhkan keupayaan pengeluaran serta menubuhkan platform global khusus, NexG bersedia untuk membawa teknologi identiti selamat yang dibangunkan di Malaysia ke lebih banyak negara di seluruh dunia.
Beliau berkata, teknologi NexG kini menjadi asas kepada infrastruktur identiti digital negara. Pasport elektronik (e-Pasport) Malaysia — yang dibangunkan sepenuhnya di dalam negara — menampilkan cip patuh ICAO yang tertanam dalam halaman biodata polikarbonat, direka bagi menangkis gangguan fizikal, serangan ‘side-channel’, manipulasi memori, gangguan arahan, dan pencerobohan domain CAD.
Katanya, Ia turut mengandungi lebih 100 ciri keselamatan canggih, termasuk imej UV warna sebenar dan jahitan keselamatan berbilang warna.
E-Pasport Malaysia diiktiraf oleh kesemua 193 negara anggota ICAO, dan Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang mengeluarkan pasport biometrik pada Mac 1998.
Melengkapi e-Pasport ialah MyKad, kad identiti nasional pelbagai guna Malaysia, yang turut menggabungkan fungsi untuk program subsidi, pengesahan identiti elektronik (eKYC), dompet elektronik (e-purse), serta keupayaan infrastruktur kunci awam (PKI).
Ia dilengkapi dengan data biometrik cap jari dan sistem operasi cip yang diperakui kriteria umum, MyKad kekal sebagai penanda aras global bagi sistem ID pelbagai guna yang tahan manipulasi.
“Kami tidak sekadar mengeksport teknologi, sebaliknya mahu membolehkan kedaulatan digital bagi negara-negara yang menuntut infrastruktur identiti yang dipercayai, selamat dan boleh diskala,” katanya.
Pelaburan RM250 juta ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman, kutipan dana ekuiti, kerjasama strategik dan pinjaman. Fasiliti baharu ini turut dijangka menyokong inovasi masa depan dalam R&D, integrasi sistem dan teknologi identiti. - DagangNews.com
featured standard
