
KUALA LUMPUR, 26 November 2026 – NEXSEC2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang berlangsung pada 25 dan 26 November 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), melabuhkan tirainya hari ini. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah.
YBhg. Datuk Abdul Halim menegaskan bahawa pembinaan ekosistem keselamatan siber yang kukuh memerlukan komitmen berterusan serta kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi. Pendekatan ini penting bagi memastikan negara mempunyai kepakaran, keupayaan teknikal dan kesiapsiagaan yang diperlukan untuk menghadapi landskap ancaman siber yang sentiasa berkembang.

Dengan penyertaan kira-kira 1,500 peserta dari Malaysia dan negara-negara ASEAN, NEXSEC2026 menyediakan platform kepada pemain industri, pakar keselamatan siber, ahli akademik dan bakat muda untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneroka penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran keselamatan digital.
Pelbagai pengisian telah dilaksanakan, termasuk Simposium Perkongsian Teknologi, Meja Bulat Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO), Pameran Teknologi dan Bakat serta pertandingan Capture the Flag (CTF). Pengisian ini memberi peluang kepada peserta untuk memperluas jaringan profesional, meningkatkan kemahiran praktikal dan memahami keperluan sebenar industri keselamatan siber.
Baca juga:
MCMC Perkukuh Daya Tahan Siber Negara, Meterai Kerjasama Dengan NACSA
MCMC Saman Google, Tuntut Keseluruhan RM600 Juta Berhubung Kandungan Memudaratkan Di YouTube
Tandakan Kalendar Anda, Pos Malaysia Lancar Siri Koleksi Pokémon Baharu Menampilkan Setem Pelekat Sendiri Dan Barangan Edisi Khas
Antara acara kemuncak majlis penutupan ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan CTF dan Pameran Teknologi dan Bakat bagi kategori universiti.
Pertandingan CTF menyaksikan pasukan Perisai+ dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai juara, membawa pulang wang tunai RM3,000, plak dan sijil termasuk sijil EC-Council.

Kedudukan lima pasukan terbaik dalam pertandingan Capture the Flag (CTF) adalah seperti berikut:
Kedudukan | Pasukan | Universiti | Hadiah Wang Tunai |
Pertama | Perisai+ | Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) | RM3,000 |
Kedua | Pwncookies | Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) | RM2,500 |
Ketiga | iphonekupi | Universiti Kuala Lumpur (UniKL) | RM2,000 |
Keempat | Error404 | Multimedia University (MMU) | RM1,500 |
Kelima | Darksword | Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) | RM1,000 |
Kesemua lima pasukan turut menerima plak dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing.

Selain itu, hadiah turut disampaikan kepada tiga pemenang sesi pembentangan inovasi (Pitching Session) NEXSEC2026 sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, keupayaan teknikal dan kebolehan mereka dalam menghasilkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran keselamatan siber.
Penganjuran pertandingan CTF dan sesi pembentangan inovasi ini mencerminkan komitmen MCMC dalam mencungkil serta mengasah bakat muda, memupuk kreativiti dan menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif dalam bidang keselamatan siber. Inisiatif ini turut menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan ekosistem digital negara.






