
Selepas Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat minggu lalu, tumpuan pasaran kini beralih sepenuhnya kepada kekuatan ekonomi Amerika Syarikat (AS), khususnya pasaran buruh.
Minggu ini dijangka menjadi antara minggu paling penting kerana beberapa data berimpak tinggi bakal menentukan sama ada Fed masih mempunyai alasan untuk mengekalkan pendirian ketat terhadap kadar faedah atau mula membuka ruang kepada dasar yang lebih longgar pada mesyuarat seterusnya.
Selain data pekerjaan, pelabur turut memberi perhatian kepada aktiviti sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi menilai sama ada ekonomi AS masih berkembang walaupun kadar faedah kekal tinggi.
ISNIN (3 Ogos 2026)
ISM Manufacturing PMI (10.00 Malam) – Data pertama yang menjadi perhatian minggu ini. Ia mengukur tahap aktiviti sektor pembuatan di Amerika Syarikat.
Jika bacaan melebihi jangkaan dan kekal di atas paras 50, ia menunjukkan sektor pembuatan masih berkembang. Keputusan itu berpotensi menyokong pengukuhan USD serta meningkatkan hasil bon AS.
Sebaliknya, bacaan yang lebih lemah akan mengukuhkan kebimbangan bahawa ekonomi semakin perlahan, sekali gus memberi tekanan kepada USD dan menyokong aset selamat seperti emas.
SELASA (4 Ogos 2026)
JOLTS Job Openings (10.00 Malam) – Data ini menunjukkan jumlah jawatan kosong yang ditawarkan oleh majikan di Amerika Syarikat.
Bilangan jawatan kosong yang tinggi menandakan permintaan tenaga kerja masih kukuh dan memberi isyarat bahawa tekanan gaji serta inflasi masih berpotensi berterusan.
Namun, jika jumlah jawatan kosong merosot dengan ketara, pasaran mungkin menjangkakan Fed akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap dasar monetari.
RABU (5 Ogos 2026)
ADP Non-Farm Employment Change (8.15 Malam) – Laporan ini menjadi petunjuk awal kepada data Non-Farm Payrolls (NFP) yang akan diterbitkan pada hari Jumaat.
Bacaan yang kukuh biasanya meningkatkan keyakinan bahawa pasaran buruh AS masih berada dalam keadaan sihat.
ISM Services PMI (10.00 Malam) – Sektor perkhidmatan menyumbang sebahagian besar kepada ekonomi AS. Oleh itu, data ini sering memberi impak besar kepada pergerakan USD.
Jika kedua-dua data ADP dan ISM Services mencatat keputusan positif, sentimen pasaran berpotensi memihak kepada dolar AS menjelang penghujung minggu.
KHAMIS (6 Ogos 2026)
Tuntutan Pengangguran Permulaan (8.30 Malam) – Data mingguan ini akan diperhatikan bagi melihat sama ada jumlah rakyat AS yang memohon bantuan pengangguran mula meningkat.
Jika tuntutan kekal rendah, ia menunjukkan pasaran buruh masih kukuh. Sebaliknya, peningkatan mendadak boleh memberi isyarat bahawa momentum ekonomi mula perlahan.
JUMAAT (7 Ogos 2026)
Non-Farm Payrolls (NFP), Kadar Pengangguran & Purata Pendapatan Setiap Jam (8.30 Malam) – Ini merupakan acara paling penting minggu ini.
Laporan NFP untuk bulan Juali akan menentukan sama ada ekonomi AS masih mampu mewujudkan peluang pekerjaan pada kadar yang sihat.
Jika jumlah pekerjaan baharu melebihi jangkaan dan kadar pengangguran kekal rendah, USD dijangka mengukuh kerana pasaran akan melihat Fed masih mempunyai ruang untuk mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama.
Sebaliknya, data pekerjaan yang mengecewakan boleh meningkatkan jangkaan bahawa Fed akan mengambil pendekatan lebih dovish pada mesyuarat akan datang. Keadaan itu berpotensi melemahkan USD serta memberi sokongan kepada emas dan aset berisiko.






