
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Tahukah anda, bermula 16 November lalu, Sistem Kecemasan Negara (NG MERS 999) telah dinaik taraf bagi menggantikan Talian Kecemasan Negara (MERS 999) yang telah digunakan sejak tahun 2007?
Perkhidmatan Next Generation MERS 999 atau NG MERS 999 yang telah beroperasi sepenuhnya pada Isnin (16 November) merupakan hasil kerjasama strategik di antara Kementerian Komunikasi (KK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Ia diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan perkhidmatan kecemasan menggunakan teknologi terkini.
Panggilan Palsu Meningkat, Ganggu Pelaksanaan NG MERS999
Namun baru sahaja beberapa hari ia dilaksanakan, timbul isu baru melibatkan sistem NG MERS 999.
Menurut TM, berlaku peningkatan mendadak jumlah panggilan palsu yang dilihat mengganggu sistem kecemasan NG MERS 999.
Jelasnya, daripada 70,000 panggilan yang diterima pada setiap hari, hanya lima peratus merupakan panggilan kecemasan tulen.
Malah, jumlah itu meningkat daripada 50,000 panggilan harian yang diterima sewaktu penggunaan sistem MERS 999 sebelum ini sehingga menganggu proses migrasi.
“Hanya 5% daripada panggilan kecemasan diterima adalah tulen sementara selebihnya adalah panggilan palsu dan pemanggil senyap (tidak bercakap apa-apa).
“Peningkatan mendadak ini memberi kesan kepada prestasi sistem dan langkah segera sudah diambil untuk memulihkan perkhidmatan termasuk meningkatkan kapasiti serta mengoptimumkan konfigurasi pelayar.
“Sumber-sumber tambahan turut diatur bagi membantu pusat panggilan mengendalikan jumlah panggilan yang tinggi,” jelas mereka.
Gesa Orang Ramai Guna Panggilan Kecemasan Dengan Bertanggungjawab
Jelas TM lagi, walaupun purata panggilan kecemasan tulen tidak berubah iaitu 3,500 kes sehari namun panggilan palsu yang terlalu tinggi boleh memberi kesan kepada sistem tersebut.
“Orang ramai digesa supaya menggunakan perkhidmatan 999 secara bertanggungjawab kerana setiap panggilan palsu berkemungkinan menghalang bantuan kecemasan disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Pada masa sama, mengurangkan penyalahgunaan seperti itu akan meningkatkan tahap respons serta dan mampu beroperasi dengan efisien,” katanya.
Malah, mereka turut menjelaskan, perkhidmatan 999 menerusi panggilan suara kekal sebagai saluran utama bantuan kecemasan di bawah platform NG MERS 999.
Beri Jaminan Bantuan Kecemasan Akan Sampai Secepat Mungkin
Pada masa yang sama, TM memberi jaminan akan berusaha sehabis baik bagi memastikan setiap rakyat Malaysia menerima bantuan kecemasan secepat mungkin.
Jelasnya, mereka telahpun mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama lima agensi keselamatan iaitu:
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
- Angkatan Pertahanan Awam (APM)
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
NG MERS 999 Ganti MERS 999 Guna Teknologi Terbaharu
Untuk info, NG MERS 999 diperkenal bagi menggantikan MERS 999 yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada komunikasi suara dan teks.
Pengenalan Sistem NG MERS 999 menggunakan teknologi baharu dan terkini seperti:
- Computer Aided Dispatch (CAD) berasaskan laman sesawang dengan peta digital
- Lokasi pemanggil diperolehi secara terus menggunakan teknologi Automatic Number Identification (ANI), Automatic Location Identification (ALI) dan Advance Mobile Location (AML)
- Aplikasi pintar di peranti mudah alih untuk orang awam dan anggota agensi kecemasan di lapangan bagi menghasilkan satu sistem yang lebih mantap, cekap dan berkesan sekali gus menambah baik perkhidmatan kecemasan negara.
Malah, NG MERS 999 turut dilengkapkan dengan aplikasi SAVEME 999 sebagai saluran tambahan mendapatkan perkhidmatan kecemasan khususnya buat pengguna yang memerlukan ciri komunikasi menerusi teks, video dan multimedia.
Baca Artikel Berkaitan: Trak Bomba Tiba-tiba Depan Gerai, Peniaga Terkejut Ada Individu Buat Panggilan Palsu [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Anggota Bomba Terkedu, Terima Panggilan Kes Kebakaran Sekali Sampai Apinya Kecil [Video]


