Ng Yan Cheng kemuka petisyen gulung tikar ke atas PRG berhubung tuntutan RM21.2 juta

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ng Yan Cheng kemuka petisyen gulung tikar ke atas PRG berhubung tuntutan RM21.2 juta Image from: Ng Yan Cheng kemuka petisyen gulung tikar ke atas PRG berhubung tuntutan RM21.2 juta johardy24/07/2026 - 18:10 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Julai - PRG Holdings Bhd dikemukakan petisyen gulung tikar oleh Dato' Ng Yan Cheng berhubung tuntutan baki pendahuluan berjumlah RM21.219 juta.

 

PRG dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, petisyen itu diterima pada 24 Julai 2026 selepas difailkan oleh peguam yang mewakili Ng di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 22 Julai 2026.

 

Menerusi petisyen itu, Ng memohon supaya mahkamah memerintahkan PRG digulung mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016.

 

Beliau turut memohon supaya Leoh Hin Han daripada Sin Han & Co. PLT dilantik sebagai pelikuidasi PRG sekiranya mahkamah mengeluarkan perintah penggulungan.

 

Petisyen itu turut memohon supaya kos prosiding dibayar daripada aset PRG, selain apa-apa relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

 

 

Menurut PRG, petisyen itu mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar baki pendahuluan berjumlah RM21.219 juta.

 

Jumlah tersebut dinyatakan dalam tuntutan berkanun yang dikeluarkan pada 30 Jun 2026 mengikut Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016.

 

Gagal capai persetujuan

PRG berkata, syarikat itu telah menghubungi Ng bagi menstruktur semula pinjaman berkenaan, namun kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama.

 

Syarikat itu juga telah menghubungi beberapa firma perakaunan dan guaman profesional bagi meneroka pilihan penstrukturan semula.

 

Menurut PRG, syarikat kini sedang mempertimbangkan semua pilihan penstrukturan semula yang berdaya maju.

 

PRG berkata, ia akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan petisyen tersebut.

 

Makluman itu tidak menyatakan tarikh pendengaran petisyen berkenaan.

 

Pemfailan petisyen itu tidak bermaksud PRG telah digulung kerana sebarang perintah penggulungan masih tertakluk kepada keputusan Mahkamah Tinggi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved