NGO di Kelantan tidak dibenar kutip zakat tanpa kebenaran MAIK - Exco

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: NGO di Kelantan tidak dibenar kutip zakat tanpa kebenaran MAIK - Exco
Mohd Asri

KOTA BHARU – Badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan tidak dibenarkan mengutip zakat secara bebas tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Mohd Asri Mat Daud berkata, urusan kutipan zakat hanya berada di bawah kuasa MAIK dan tidak boleh dijalankan oleh mana-mana pihak swasta atau NGO tanpa pengiktirafan sebagai amil zakat oleh majlis agama itu.

Mohd Asri menjelaskan, terdapat NGO yang dibenarkan berperanan dalam pengurusan zakat, namun hanya terhad kepada mereka yang berdaftar dan dilantik sebagai amil zakat oleh MAIK.

“Kalau NGO nak jadi amil, mereka perlu daftar dan dapat kebenaran MAIK.

“Jumlah kutipan zakat itu akan diaudit oleh MAIK dan diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk asnaf,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Pada Selasa, akhbar melaporkan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Suspek termasuk lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Lembah Klang.

Mengulas isu penyalahgunaan dana, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama zakat atau mengutip dana tanpa kelulusan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semua kutipan zakat perlu direkodkan dan diagihkan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri.