
PUTRAJAYA – Kerajaan Indonesia hendaklah bersikap telus dan terbuka dalam menangani krisis jerebu serantau yang berpunca daripada aktiviti kebakaran hutan dengan mendedahkan semua maklumat mengenai 57 syarikat yang menjadi ‘dalang’ kepada aktiviti tidak bermoral itu.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meena Raman berkata, pendedahan kepada umum itu penting bagi mencari pesalah terlibat, seterusnya memulakan proses tindakan undang-undang kepada syarikat tersebut.
Katanya, sikap syarikat terbabit mengambil pendekatan mudah dengan membakar hutan bagi membolehkan proses penanaman semula perlu dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan Indonesia.
“Tindakan itu telah dilakukan sejak berdekad lalu sehingga menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di negara serantau. Malah, sekolah ditutup selain ada berdepan masalah kesihatan.
“Semoga dengan pendedahan tersebut, ia akan menjurus kepada suatu tindakan yang boleh menghentikan aktiviti pembakaran hutan secara menyeluruh agar ianya tidak berlaku lagi di masa akan datang,” katanya hari ini.
Baru-baru ini, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur memaklumkan Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.
KBRI Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.
Mengulas lanjut, Meena berkata, pendedahan tersebut juga akan membolehkan rakyat di semua negara yang terbabit mencari jalan penyelesaian tanpa terlalu bergantung kepada tindakan kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata.
“Sebagai contoh, rakyat secara umumnya boleh melakukan protes kepada syarikat terbabit dengan tidak lagi member produk mereka sebagai tanda bantahan kepada sikap tidak bertanggung jawab pemilik syarikat dan firma terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post NGO gesa kerajaan Indonesia dedah 57 syarikat dalang kebakaran hutan appeared first on Kosmo Online.





