PUTRAJAYA - Wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan India pada Rabu menganjurkan mesyuarat pertama bagi mencari titik pendamaian dalam menyelesaikan beberapa isu yang membelenggu kedua-dua kaum sejak kebelakangan ini.
Wakil kedua-dua kaum kaum itu dipertemukan melalui program Harmoni Madani yang yang berlangsung kira-kira empat jam di Pusat Konvensyan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dialog berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.
Menurutnya, sesi dialog itu penting sebagai langkah pertama dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku.
**media[3467897]**
“Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.
“Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya ketika sidang akhbar di sini.
Turut hadir ialah Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar; Pemegang Amanah Yayasan Kubra, Ismail Mina Ahmad dan pempengaruh, J Kumaresan.
Zainul Rijal dalam masa sama turut menggesa semua pihak untuk terus bergerak ke hadapan dan mengambil iktibar dengan kontroversi yang berlaku sebelum ini.
Sementara itu, Sivakumar berkata pertemuan itu amat penting bagi mencari penyelesaian damai.
Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat.
**media[3467898]**
“Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai di antara komuniti Melayu dengan komuniti India.
“Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti isu kaum dan pembinaan tanpa izin,” katanya.
Beliau menambah, semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta perdamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya.
Terdahulu, dialog tertutup yang berlangsung hampir empat jam berlangsung dalam keadaan harmoni.
Antara yang dilihat hadir ialah Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) Zamri Vinoth; aktivis, Cikgu Chandra atau nama sebenar, S Chandrasegaran serta pendakwah Bebas, Firdaus Wong.
