NGO Malaysia hantar bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria

7 Feb 2023 • 2:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menghantar bantuan awal bernilai RM200,000 bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi di Turkiye dan Syria semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata sumbangan itu bagi menampung kos perbelanjaan keperluan mendesak ketika ini seperti makanan yang siap dimasak, pek makanan (sedia dimakan), khemah perlindungan dan alat pemanas.

“Bantuan awal ini dapat menampung sekurang-kurangnya 1,000 mangsa di wilayah yang terjejas di Sanliurfa dan barat laut Syria (Afrin dan Aleppo).

“Sasaran MyCARE bagi keseluruhan bantuan kecemasan gempa ini ialah RM1 juta bagi menampung bantuan keperluan asas bagi 3,000 mangsa yang terlibat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata musim sejuk di negara itu menyukarkan kerja mencari dan menyelamat selain suhu di beberapa kawasan dijangka turun hampir paras beku semalaman.

“MyCARE telah menghantar bantuan musim sejuk seperti alat pemanas dan pakaian musim sejuk baru-baru ini, kami percaya susulan kejadian gempa, keperluan mendesak terutama alat pemanas amat diperlukan,“ katanya.

Menurut Kamarul Zaman, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan peningkatan keperluan bagi penjagaan trauma untuk merawat yang cedera dan untuk menyokong keseluruhan sistem kesihatan di kawasan yang terjejas.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi pautan https://mycare.qrd.by/turkiyeemergency.

Sementara itu, Medecins Sans Frontieres (MSF) atau Doctors Without Borders dalam kenyataan memaklumkan turut menghulurkan bantuan kepada 23 fasiliti kesihatan di seluruh wilayah Idlib dan Aleppo menerusi sumbangan kit perubatan kecemasan dan bantuan kakitangan perubatan.

“Kami telah memberi sumbangan selimut dan kit keperluan diri kepada penduduk yang dipindahkan ke barat laut Syria. Tahap gempa di wilayah itu memusnahkan ratusan rumah dan menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal,” menurut kenyataan itu.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Myanmar Malaysia Zafar Ahmad Abdul Ghani menerusi kenyataan pula menyeru semua pihak menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat bagi membantu mangsa yang masih terperangkap.

“Kami berharap semua pihak akan menghantar doktor dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa di kedua-dua negara. Ketika ini kaunselor amat diperlukan untuk membantu mangsa yang mengalami trauma,” katanya. -Bernama