Ni Hsin, UniKL jalin kerjasama promosi motosikal elektrik EBixon EV

17 Jul 2023 • 4:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ni Hsin, UniKL jalin kerjasama promosi motosikal elektrik EBixon EV

diyana

17/07/2023 - 16:11

KUALA LUMPUR 17 Julai - Anak syarikat Ni Hsin Group Bhd, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd telah memeterai surat hasrat dengan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL) untuk mempromosikan motosikal elektrik, EBixon EV.

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata kerjasama tersebut merangkumi bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengurusan projek, sosial dan budaya.

Tambahnya, kerjasama ini turut mewujudkan program Industrialmanship di UniKL bagi tujuan pendedahan industri seperti bengkel atau seminar teknikal, penempatan latihan industri dan program kebolehpasaran kepada pelajar UniKL, di mana Ni Hsin EV Tech mempunyai program kepakaran teknikal dan keusahawanan.

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong berkata kerjasama strategik itu membolehkan kedua-dua pihak menjalankan R&D, serta menyediakan latihan teknikal dan pendedahan industri kepada pelajar UniKL sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pekerjaan semasa.

image is not available
Khoo Chee Kong

“Ini sejajar dengan hasrat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menaikkan gaji minimum pelajar yang menamatkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada RM1,500 kepada RM2,000.

“Selain itu, kami telah merangka program keusahawanan untuk pelajar yang bercita-cita tinggi untuk memulakan keusahawanan kecil yang berdikari,” katanya.

Pada waktu penulisan, saham Ni Hsin jatuh 1 sen atau 7.1% kepada 13 sen dengan modal pasarannya berjumlah RM74.5 juta. - DagangNews.com