
PETALING JAYA – Niat seorang nelayan mahu menunjukkan ikan besar yang berjaya ditangkap bertukar detik mencemaskan apabila perahu dinaikinya tiba-tiba senget sebelum dimasuki air dan karam.
Kejadian tersebut dirakam dari sebuah bot yang berada berhampiran sebelum videonya dikongsikan seorang wanita menerusi akaun Threads, @mummynurul2.
Menerusi rakaman itu, nelayan berkenaan pada mulanya dilihat berada di dalam sebuah perahu kecil sambil mengangkat ikan bersaiz besar dipercayai hasil tangkapannya untuk ditunjukkan kepada individu di atas bot berkenaan.
Namun, ketika sedang menunjukkan ikan tersebut, perahunya tiba-tiba senget menyebabkan air laut masuk dengan pantas.
Dalam masa singkat, perahu berkenaan terus tenggelam menyebabkan nelayan itu tercampak ke dalam laut bersama ikan dan barangan yang berada di dalam perahunya.
“Itu la hikmah disebalik apa yang terjadi Allah hadirkan orang lain untuk selamatkan orang-orang lain pula. Alhamdulillah ikan dia juga dapat diselamatkan, dibawa balik termasuk bot kecilnya,” tulis wanita berkenaan.
Difahamkan, bot berkenaan dinaiki adik kepada wanita tersebut dan kebetulan berada berhampiran ketika kejadian berlaku.
Kehadiran mereka ternyata menjadi penyelamat apabila nelayan terbabit berjaya diberikan bantuan sebelum dibawa ke tempat selamat.
Malah ikan besar yang mahu ditunjukkan nelayan itu sebelum perahunya karam turut berjaya diselamatkan dan dibawa pulang.
Kejadian tersebut turut mencuri perhatian pengguna media sosial yang bukan sahaja lega melihat nelayan itu selamat, malah tertanya-tanya mengenai nasib ikan berkenaan.
“Mula-mula aku tengok video tu dah terdetik janganlah dia angkat nak tunjuk ikan tu, sekali betul. Dengan perahu terbalik,” komen Miesya.
“Adoi asalnya nak tunjuk ikan tak sangka perahu pula karam,” komen Arif pula. – KOSMO! ONLINE
The post Niat asal nak tunjuk ikan, tak sangka perahu nak karam appeared first on Kosmo Online.

