
PETALING JAYA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengimbau sejarah penyatuan Jepun ketika berada di hadapan Osaka Castle yang mempunyai kaitan rapat dengan tokoh sejarah, Toyotomi Hideyoshi.
Beliau berkata, Osaka Castle mula dibina oleh Hideyoshi pada 1583 ketika tokoh berkenaan meneruskan usaha menyatukan Jepun selepas melalui tempoh panjang perpecahan dan peperangan antara wilayah.
“Dari sinilah terbentuk salah satu pusat kekuasaan penting Hideyoshi sebelum proses penyatuan Jepun disempurnakan menjelang penghujung abad ke-16,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Mohd Amar, sejarah Osaka memberi ruang untuk direnungkan mengenai proses penyatuan yang tidak berlaku secara serta-merta.
Katanya, perbezaan pandangan, persaingan dan perbincangan panjang merupakan antara perkara yang perlu dilalui sebelum mencapai titik pertemuan.
“Ada masa kita berbeza pandangan, ada persaingan dan ada perkara yang perlu dibincangkan panjang.
“Tetapi apabila ada kesediaan untuk duduk bersama dan melihat kepentingan yang lebih besar, titik pertemuan itu sentiasa boleh dicari,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Nik Amar imbau sejarah penyatuan Jepun di Osaka appeared first on Kosmo Online.
