
SHAH ALAM, 21 OKT: Panggilan kecemasan daripada anak lelaki berusia 18 tahun membawa seorang pegawai kanan polis ke sebuah gimnasium di Melawati Mall sebelum menahan lelaki yang disyaki mencabul remaja itu di dalam bilik sauna, kelmarin.
Pegawai berkenaan, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian gangguan seksual yang didakwa menimpa anaknya.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika mangsa berada di dalam bilik sauna bersama seorang rakan sebelum ditinggalkan berdua dengan suspek berusia 61 tahun.
“Lelaki terbabit pada mulanya cuba beramah mesra dan mengajak mangsa berbual mengenai hal gimnasium. Namun secara tiba-tiba, lelaki terbabit memegang beberapa bahagian tubuh mangsa.
“Lelaki itu terus bertindak melampau dengan meramas mangsa. Mangsa kemudiannya melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada rakannya selain kepada kakitangan di kaunter,” kata sumber itu seperti dilapor Harian Metro.
Mangsa kemudian menghubungi bapanya pada jam 7.25 malam bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Nik Ezanee tiba di lobi gimnasium kira-kira jam 7.45 malam sebelum mengarahkan kakitangan premis menghubungi polis.
“Sejurus kemudian, lelaki terbabit turun ke tingkat bawah dan mangsa dapat mengecamnya sebagai individu yang melakukan perbuatan itu.
“Nik Ezanee segera mengarahkan lelaki terbabit duduk, memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, dan terus membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan di lokasi kejadian,” katanya.
Sebuah telefon pintar milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan sebelum lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dua laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Taman Melawati pada malam kejadian.
Sementara itu, Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.


