Nikah Thailand: Kelantan mudahkan proses pengesahan demi masa depan anak

LocalFamily & Parenting
9 Mar 2026 • 9:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Asri

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan melakukan penambahbaikan terhadap proses pengesahan perkahwinan rakyat negeri ini yang dilangsungkan di Selatan Thailand bagi memastikan urusan berkaitan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah tersebut dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) bagi mempermudah prosedur pengesahan tanpa menjejaskan masa depan anak-anak hasil perkahwinan berkenaan.

Menurut beliau, penambahbaikan tersebut termasuk mempercepatkan proses pengesahan serta memperkenalkan kaedah penyelesaian yang lebih mudah walaupun terdapat denda terhadap pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran.

"Kita tidak mahu proses yang lama memberi kesan kepada masa depan pendidikan anak-anak.

"Jadi kita sedang buat penambahbaikan dari sudut proses pengesahan perkahwinan yang berlaku di sebelah Thailand supaya ia dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama Media di sini pada Ahad.

Mohd Asri berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak bercadang mewujudkan pangkalan data bersama pihak Thailand bagi memudahkan semakan status perkahwinan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemungkinan kerjasama itu akan dilihat di peringkat Jaheaik sekiranya ia dapat membantu melancarkan urusan berkaitan.

"Kita sudah bincangkan perkara ini sejak kira-kira tiga tahun lalu dan penambahbaikan sentiasa dibuat.

"Kerjasama dengan pihak Thailand itu kita akan lihat bagaimana bentuknya di peringkat Jaheaik," katanya.

Beliau dalam masa sama menegaskan kerajaan negeri tidak menggalakkan pasangan berkahwin di Thailand tanpa melalui prosedur yang ditetapkan di negara ini.

Namun katanya, bagi pasangan yang telah melangsungkan perkahwinan di negara jiran itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan mempermudah proses pengesahan agar tidak memberi kesan kepada kebajikan serta masa depan anak-anak mereka.

"Ada denda, tetapi ia boleh dibincang dan diselesaikan dengan cara lebih mudah, teratur dan cepat kerana kita mahu proses itu disegerakan," katanya.

View Original Article