Nikmat keamanan hasil perjuangan, pengorbanan

29 Aug 2026 • 9:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nikmat keamanan hasil perjuangan, pengorbanan

ARAU: Kemerdekaan membawa pengertian besar buat rakyat Malaysia yang bukan sahaja membawa simbol pembebasan namun menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara berdaulat.

Justeru, sambutan Bulan Kebangsaan dirai setiap tahun perlu dihayati sepenuhnya serta mengenang perjuangan generasi terdahulu yang berkorban demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Bagi seorang pesara tentera, dari Kampung Jelempok, di sini, nikmat keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi rakyat Malaysia pada hari ini adalah hasil perjuangan, air mata dan pengorbanan anggota keselamatan negara.

Mengimbau kembali pengalaman sepanjang tempoh perkhidmatannya, bekas Pegawai Waran 1 (B) Syukri Abdullah, 71, berkata, dia menabur khidmat dalam Tentera Darat Malaysia menerusi Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanis selama 22 tahun bermula 1973.

Katanya, bunyi letupan jerangkap samar, jeritan dan percikan darah rakan seperjuangan menjadi sebahagian daripada pengalaman masih segar dalam ingatannya.

“Pelbagai pengalaman telah dilalui saya sebelum ini antaranya termasuk menentang pengganas komunis pada era 1970-an dan 1980-an serta menyertai misi menyelamat tentera Amerika Syarikat (AS) di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 1993,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Syukri berkata, semasa ditugaskan di kawasan operasi Gubir dan Ulu Legong, Kedah berhampiran sempadan negara, salah seorang rakannya telah terpijak jerangkap samar sehingga menyebabkan kaki hancur.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia turut menghulurkan bantuan kepada rakannya ketika itu dan meminta bantuan helikopter penyelamat untuk membawa mangsa keluar.

“Masa itu kami sedang meronda di kawasan tepi sungai berhampiran kem. Tiba-tiba kedengaran bunyi letupan kuat dan salah seorang anggota saya yang berjalan di hadapan terpijak jerangkap samar. Paling menyedihkan, kakinya hancur dan terputus pada paras buku lali yang menyebabkannya cacat kekal,” katanya.

Anak kelahiran Tunjang itu berkata, dia sebelum ini juga pernah ditugaskan dalam misi Restore Hope di Somalia selama enam bulan dan pelbagai pengalaman pahit manis ditempuh sepanjang tempoh tersebut.

Syukri berharap setiap rakyat di negara ini dapat mempertahankan kemerdekaan dikecapi yang lahir daripada hasil perjuangan dan air mata.-UTUSAN

The post Nikmat keamanan hasil perjuangan, pengorbanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved