
RASA rempah ayam gepuk yang berjus jelas terasa, sekali gus menjadikan enak dinikmati bersama nasi putih panas.
Ayam yang direbus bersama bahan seperti kunyit dan daun salam sebelum digoreng itu dihidangkan dengan pilihan sambal berlado serta sos gajus.
Hidangan itu antara menu yang diperkenalkan oleh Congkak Bistro di The Curve, Petaling Jaya, Selangor menerusi konsep makanan Nusantara yang menggabungkan cita rasa Melayu dan Indonesia.
Menurut cef eksekutif restoran itu, Firdaus Daud, sambal bukan sekadar pelengkap hidangan, sebaliknya sebahagian daripada identiti kulinari Indonesia yang mencerminkan kepelbagaian cita rasa mengikut wilayah.
“Dalam gastronomi Indonesia, sambal bukan sekadar pelengkap hidangan, ia mewakili identiti kulinari mereka.
“Di restoran ini, kami menawarkan pilihan sambal berlado, sambal hijau dan sos gajus untuk dinikmati bersama ayam gepuk.
“Pelanggan boleh memilih sambal mengikut tahap kepedasan yang disukai.
“Kalau tak mahu pedas sangat, mereka boleh minta sambal berlado yang kurang pedas,” katanya kepada CitaRasa.
Selain sambal, kepelbagaian teknik penyediaan ayam turut memberi keunikan kepada masakan Indonesia, meskipun hidangan tersebut lazimnya dinikmati bersama nasi putih dan sayur.
Ayam geprek disalut tepung berempah sebelum digoreng sehingga rangup, sekali gus menghasilkan tekstur yang seakan-akan tempura.
Sementara itu, ayam pop pula direbus menggunakan air kelapa sebelum digoreng seketika bagi mengekalkan kelembutan isi ayam.
Untuk hidangan lengkap, pelanggan boleh mencuba nasi uduk, iaitu nasi bersantan yang mempunyai persamaan dengan nasi lemak Malaysia.
Nasi uduk dihidangkan bersama pelbagai lauk dan pelengkap seperti kacang tanah, tempe orek, sambal telur, telur hiris, bihun goreng, timun, ikan bilis dan ayam goreng berempah.
Firdaus berkata, resipi yang digunakan berasaskan hidangan Indonesia, namun beberapa pengubahsuaian dilakukan bagi menyesuaikannya dengan cita rasa pelanggan tempatan.
“Contohnya, sambal kami sedikit manis kerana pelanggan Malaysia cenderung menyukai rasa sedemikian.
“Selain itu, ayam pop di Indonesia lazimnya dihidangkan tanpa sup, tetapi kami menyediakan sup untuk menyesuaikannya dengan kebiasaan pelanggan di sini yang lebih gemar hidangan berkuah,” katanya.
Selain hidangan utama, Congkak Bistro turut menawarkan pencuci mulut seperti coconut affogato yang diinspirasikan daripada hidangan Itali.
Antara minuman yang menjadi pilihan pelanggan adalah kopi bakar keju dan teh ais bakar keju.
Kedua-dua minuman itu dilengkapi dengan lapisan keju di bahagian atas yang dibakar menggunakan alat pembakar sehingga permukaannya keperangan.
Pilihan minuman lain termasuk watermelon mojito, cendol pina colada dan matcha strawberi.
Firdaus menambah, selain hidangan Indonesia, restoran tersebut turut menawarkan masakan berpaksikan Nusantara sebagai pilihan.
“Kami turut menghidangkan masakan Melayu seperti rendang tok, daging masak hitam dan tauhu bergedil untuk dinikmati pelanggan.
“Sekiranya mahu kelainan, pelanggan boleh memesan dry chilli pan mee yang diinspirasikan daripada masakan Cina,” katanya.
The post Nikmati keenakan resipi Indonesia appeared first on Kosmo Online.
