

Nikmati Pengalaman Festival Kayuhan Come!BikeDay 2024, Muzik & Bunga Api Tasik Sun Moon
Nantou, 11 September 2024 – Memasuki tahun ke-17, “Festival Kayuhan Come!BikeDay 2024, Muzik & Bunga Api Tasik Sun Moon” dijangka kembali dengan penuh gemilang pada bulan Oktober ini! Tasik Sun Moon, yang terletak di Daerah Nantou di tengah Taiwan, adalah tasik air tawar terbesar dan tercantik di Taiwan serta salah satu destinasi pelancongan yang paling terkenal.
Festival muzik dan bunga api yang terbesar dan paling dinantikan di Taiwan Tengah ini diadakan setiap tahun di Tasik Sun Moon. Festival tahun ini akan mengetengahkan tiga tema utama—”Muzik, Bunga Api, dan Acara Sukan”—menawarkan pengalaman luar biasa kepada pelawat dari seluruh dunia.
Pelbagai Aktiviti, Keseronokan Tanpa Henti
Festival tahun ini, yang dianjurkan oleh Pentadbiran Kawasan Pemandangan Negara Tasik Sun Moon, akan menampilkan pelbagai aktiviti siang dan malam, serta tema perjalanan yang merangkumi keindahan Tasik Sun Moon. Abe Chou, Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, menyatakan: “Kami ikhlas menjemput rakan-rakan Islam dari Malaysia untuk melawat Taiwan, destinasi pelancongan mesra Muslim, dan menyertai festival hebat ini.
Ia bukan sekadar acara luar biasa, tetapi juga satu pengembaraan romantis. Jom jumpa di Tasik Sun Moon dan cipta kenangan bersama yang tidak dapat dilupakan.”
Festival Bunga Api Tasik Sun Moon 2024 bermula pada 4 Oktober dan berlangsung hingga 23 November, menampilkan pelbagai acara menarik! Kemuncak festival ini ialah Karnival Kayuhan Come!BikeDay pada 9 November.
Acara berbasikal mesra keluarga ini membolehkan pengunjung menikmati keindahan pemandangan Tasik Sun Moon dan merasai keseronokan menunggang di sepanjang salah satu daripada 10 laluan basikal paling menakjubkan di dunia.
Sama ada anda seorang penunggang basikal berpengalaman atau pemula, terdapat laluan yang sesuai untuk semua, menawarkan pemandangan tepi tasik yang mempesonakan.
Cabaran Seronok untuk Penunggang Muda (Umur 3-6 Tahun)!
Ciri istimewa Come!BikeDay tahun ini ialah pelbagai cabaran menarik yang direka khusus untuk penunggang muda berumur 3-6 tahun. Aktiviti penuh keseronokan ini termasuk maraton mini, simulasi mendaki gunung, berenang, dan melihat sebahagian daripada mercu tanda bawah air yang terkenal, “Sembilan Katak Bersusun,” semuanya mewakili tarikan unik Tasik Sun Moon.
Melengkapkan laluan adalah satu pencapaian yang membolehkan kanak-kanak menikmati keseronokan berbasikal sepenuhnya.

Tasik Sun Moon juga akan menganjurkan pertunjukan bunga api dan muzik pada 2 November dan 23 November. Selain daripada pertunjukan bunga api yang mempesonakan di atas tasik, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan muzik yang hebat.
Konsert bunga api pertama akan menampilkan penyanyi Malaysia, Ivy, bersama 75 ahli orkestra yang membawakan gabungan klasik Barat dan Asia, mencipta keharmonian antara muzik klasik dan pop. Konsert kedua akan mempersembahkan skor filem yang memukau oleh Orkestra Simfoni Nasional Taiwan.
Pengunjung ke Tasik Sun Moon tidak boleh melepaskan peluang untuk mencuba Teh Hitam Tasik Sun Moon! Festival Budaya Teh Hitam Tasik Sun Moon, yang diadakan mulai 2 hingga 3 November, menawarkan peluang untuk mempelajari sejarah dan budaya teh terkenal ini serta menikmati rasa aslinya—acara yang sesuai untuk seisi keluarga.
Dengan Tasik Sun Moon sebagai latar belakang, festival ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik, termasuk acara berbasikal, majlis perkahwinan romantis, pertunjukan bunga api, jamuan muzik, dan persembahan kebudayaan.
Sama ada konsert romantik, pertunjukan bunga api yang memukau, atau acara sukan yang mencabar, setiap aktiviti menjanjikan pengalaman yang memikat hati pengunjung.
Pengangkutan ke Festival Bunga Api Tasik Sun Moon 2024
Sistem pengangkutan awam di Taiwan sangat mudah digunakan. Pengunjung boleh menaiki kereta api atau bas ke Bandar Taichung, kemudian bertukar ke bas yang terus ke Tasik Sun Moon. Semasa festival, perkhidmatan bas ulang-alik khas akan disediakan antara bandar utama seperti Taichung, Kaohsiung, dan Taipei ke Tasik Sun Moon.
Untuk jadual terkini dan maklumat tiket, sila lawati laman web rasmi Pentadbiran Kawasan Pemandangan Negara Tasik Sun Moon atau laman web acara. Selain itu, kemudahan mesra Muslim, termasuk surau dan tempat berwudhuk, disediakan di Pusat Pelawat Xiangshan dan Pusat Pelawat Ita Thao di Tasik Sun Moon.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur di +603-20706789 atau e-mel tourism@taiwan.net.my.
The post Nikmati Pengalaman Festival Kayuhan Come!BikeDay 2024, Muzik & Bunga Api Tasik Sun Moon appeared first on Siakap Keli.





