Nilai 1 Sen

Business & Finance
19 Sep 2022 • 5:41 PM MYT
My Musing
My Musing

Writing on military, history, economics, and social issues since 2006.

Image from: Nilai 1 Sen
Tangkap layar daripada laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sumber: Penulis

Apakah anda pernah terfikir nilai 1 sen? Kenapa kita pernah mempunyai 1 sen sedangkan hari ini, hampir setiap satu benda yang kita lihat hari ini bernilai lebih daripada 1 sen? Malahan, gula-gula termurah hari ini dijual pada harga sekurang-kurangnya 10 sen, mungkin lebih. Sudah tentunya, hari-hari di mana nilai barangan dijual kurang daripada 10 sen sudah lama berlalu.

Sekiranya pun ada barangan yang bernilai kurang daripada 10 sen hari ini, apa kelebihan kepada kita? Pada tahun 2008, Bank Negara Malaysia telahpun melaksanakan mekanisma pembundaran nilai 5 sen terdekat dalam suatu kempen yang dipanggil Jimat dan Senang Kira.

Image from: Nilai 1 Sen
Tangkap layar daripada laman sesawang Bank Negara Malaysia. Sumber: Penulis

Dalam kempen ini, transaksi yang berakhir dengan nilai 3 hingga 4 sen dibundarkan ke atas kepada 5 sen, dan 8 hingga 9 sen dibundarkan ke atas kepada 10 sen terdekat, manakala yang berakhir dengan 1 hingga 2 sen dibundarkan ke bawah kepada 10 sen sebelum itu, dan 6 hingga 7 sen dibundarkan ke bawah kepada 5 sen terdekat.

Dikatakan, pembundaran ini akan memudahkan orang ramai membuat pengiraan nilai yang mereka perlu bayar dan menjimatkan wang. Hakikatnya, kaedah ini tidaklah membantu sebarang penjimatan, dan sebenarnya membantu para peniaga menggunakan kaedah pemasaran di mana mereka mengenakan harga dengan nilai 99 sen pada barangan tersebut. Sebagai contoh, menjual barang pada nilai RM12.99. Sifat pelik otak manusia akan memproses nilai ini sebagai RM12, walaupun hakikatnya apabila dibundarkan nanti, sebenarnya bernilai RM13.

Secara tidak langsung, tiada penjimatan.

Realitinya adalah memang berlaku penjimatan tetapi penjimatan itu dinikmati oleh kerajaan, khususnya Bank Negara. Hal ini kerana mereka boleh mengurangkan kos membuat duit syiling 1 sen. Saya tak ingat di mana saya baca ini, tetapi dikatakan nilai untuk mencetak duit kita adalah sekurang-kurangnya 5 kali ganda nilai muka wang tersebut.

Tetapi itu adalah pada tahun 2008. Hari ini, kita telah beralih kepada sebuah ekonomi yang rata-rata yang telah didigitalkan. Penggunaan matawang telahpun berkurang dengan banyak, khususnya dalam era selepas pandemik ini dimana orang ramai sudah kurang gemar menggunakan mata wang fizikal. Ini bermakna kos membuat 1 sen yang telah menjadi terlalu mahal itu bukan lagi suatu halangan.

Image from: Nilai 1 Sen
Antara aplikasi e-Dompet dan aplikasi perbankan atas talian yang mempunyai fungsi e-Dompet. Sumber: Penulis

Pengenalan e-Dompet juga telah banyak membantu menyediakan peralihan kepada ekonomi berdigital ini untuk Malaysia.

Kehadiran telefon bimbit yang dilengkapi dengan kamera untuk mengimbas kod QR atau berupaya memaparkan kod QR itu sendiri telah menjadi pendorong mampan kepada pendigitalan ekonomi kita, mengjkuti langkah yang diambil oleh ekonomi China dimana para peniaga jalanan pun turut menerima bayaran melalui kaedah kod QR.

Memandangkan keadaan sudah berubah, apakah Kerajaan seperti Bank Negara Malaysia memikirkan semula keperluan mekanisme pembundaran ke atas atau ke bawah ini? Benarkanlah rakyat am mendapat balik nilai 1 sen mereka. Mungkin nilai wang tersebut hanya 1 sen kepada pengguna, tetapi seperti kata-kata pepatah lama, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Apatah lagi, bukankah lebih baik rakyat biasa yang menerima faedah berbanding diterima oleh konglomerat dan perniagaan untuk menerima bayaran daripada kaedah pemasaran ini?


Danny Liew adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.