Nilai jualan sektor pembuatan susut 1.9% kepada RM158.7 bilion pada September 2023 - DOSM

LocalBusiness & Finance
7 Nov 2023 • 1:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai jualan sektor pembuatan susut 1.9% kepada RM158.7 bilion pada September 2023 - DOSM

zulfadli

07/11/2023 - 13:02

KUALA LUMPUR 7 Nov - Nilai jualan sektor pembuatan susut 1.9% tahun ke tahun kepada RM158.7 bilion pada September 2023, namun menunjukkan peningkatan 4.3% berbanding Ogos 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan menurun pada kadar yang lebih perlahan 1.9% pada September 2023 berbanding kemerosotan 3.3%
pada bulan sebelumnya.

Katanya, penurunan tersebut sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penurunan berterusan sebanyak 12.3% dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik.

"Tambahan lagi, subsektor makanan, minuman dan tembakau menguncup 1.7% dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan menyusut 0.7%.

"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan meningkat 4.3% berbanding RM152.2 bilion yang direkodkan pada Ogos 2023 (5.7%)," katanya dalam kenyataan media berhubung Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia September 2023 di sini, hari ini.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili lebih dua pertiga daripada jumlah jualan, menurun 5.1% pada September 2023 selepas menyusut 6.8% pada Ogos 2023.

Penguncupan itu disebabkan terutamanya penurunan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-21.6%); pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. (-10.5%); dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-8.4%).

image is not available

Namun begitu, industri berorientasikan domestik kekal kukuh dan berkembang 8.1% pada September 2023 (Ogos 2023: 7.2%).

Pengembangan berterusan itu disokong terutamanya peningkatan yang ketara dalam nilai jualan pembuatan produk logam, kecuali 10.5 %; dan pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 10.4% dan juga pembuatan produk makanan sebanyak 9.5%.

Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4% dan 4.1%.

Menurut Mohd Uzir, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.37 juta oran September 2023, meningkat 2.4% berbanding 2.32 juta orang yang dicatatkan setahun lalu.

Katanya, kenaikan itu didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (7.4%); produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (2.8%) dan produk elektrik & elektronik (2%).

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 0.8%. Selaras dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2% tahun ke tahun, berjumlah RM8.1 bilion pada September 2023.

"Berbanding Ogos 2023, gaji dan upah yang dibayar meningkat 1.7% berbanding 0.9% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Tambahan lagi, nilai jualan bagi setiap pekerja menurun sebanyak
4.2% kepada RM66,864 manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja pada September 2023 adalah RM3,429 yang meningkat sebanyak 0.8% tahun ke tahun," katanya.

Katanya, pada suku ketiga 2023, nilai jualan sektor pembuatan terus menurun untuk dua suku berturut-turut, merosot 2.7% tahun ke tahun berbanding penurunan 1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Penyusutan tersebut dipengaruhi oleh subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (-13.3%), makanan, minuman dan tembakau (-5.3%); dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-0.5%).

Sebaliknya, bilangan pekerja dan gaji dan upah yang dibayar pada suku tahun berkenaan tumbuh masing-masing sebanyak 2.4% dan 3%.

Berbanding suku tahun sebelumnya, nilai jualan memulih kepada 3.6% berbanding negatif 2.3% pada suku tahun sebelumnya. - DagangNews.com

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved