Nilai jualan sektor pembuatan susut 4% kepada RM147.4 bilion pada Jun 2023 – DOSM
diyana
08/08/2023 - 12:35
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Nilai jualan sektor pembuatan menurun 4% kepada RM147.4 bilion pada Jun 2023 setelah merekodkan pertumbuhan positif 3.3% dalam bulan sebelumnya yang bernilai RM146.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tersebut adalah akibat kemerosotan subsektor makanan, minuman dan tembakau sebanyak 14.6%, susut dua digit bagi tiga bulan berturut-turut.
“Tambahan lagi, kemerosotan tersebut juga disumbangkan oleh penurunan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (12.4%); serta subsektor kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.1%),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 73% daripada jumlah jualan, merosot 7.4% pada Jun 2023 berbanding pertumbuhan marginal sebanyak 0.1% pada Mei 2023.
“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh kemerosotan dalam industri pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (27.4%); pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (18.6%); dan pembuatan produk getah (13.2%),” ujar beliau.
Sebaliknya, industri berorientasikan domestik terus mengimbangi kejatuhan nilai jualan dengan merekodkan pertumbuhan positif sejak September 2021, berkembang sebanyak 6.8% pada Jun 2023 (Mei 2023: 12.5%), sebahagian besarnya disokong oleh pertumbuhan kukuh nilai jualan bagi industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler sebanyak 10.5%.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata seramai 2.35 juta orang terlibat dalam sektor pembuatan pada Jun 2023, mencatat peningkatan 2.1% berbanding 2.3 juta orang yang direkodkan setahun lalu.
“Kenaikan ini didorong terutamanya oleh peningkata bilangan pekerja dalam subsektor peralatan elektrik dan elektronik (3.4%); produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.8%); serta kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (1.6%),” katanya.
Sehubungan itu, gaji dan upah dibayar dalam sektor pembuatan turut meningkat 3% tahun ke tahun, berjumlah RM8 bilion pada Jun 2023 dengan purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja bernilai RM3,432, naik 0.9%, sementara nilai jualan bagi setiap pekerja jatuh sebanyak 5.9% kepada RM62,853.
Pada suku tahun kedua 2023, nilai jualan sektor pembuatan merekodkan penyusutan pertama sejak suku tahun kedua 2020 sebanyak 16.5% dengan mencatatkan negatif 1% berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, bilangan pekerja dan gaji dan upah pada suku tahun berkenaan masing-masing tumbuh sederhana sebanyak 2.1% (1Q 2023: 2.8%) dan 3.6% (1Q 2023: 4.3%). - DagangNews.com


