Nintendo telah mengesahkan kehadiran konsol permainan terbaru mereka, Nintendo Switch 2 beberapa minggu yang lalu, dengan mengatakan bahawa butiran lanjut mengenainya akan diperlihatkan sewaktu acara Nintendo Direct yang akan diadakan pada 2 April ini.
Baru-baru ini, Presiden Nintendo, Shuntaro Furukawa telah berkata bahawa Nintendo akan mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk pelancaran konsol Switch 2 ini dengan mengeluarkan konsol Switch 2 pada kadar yang lebih banyak untuk memenuhi permintaan pengguna global, dan bukan sahaja di Jepun.
Beliau menjangkakan bahawa minat dan kehendak pengguna untuk membeli konsol Switch 2 ini adalah setinggi, jika tidak lebih tinggi berbanding dengan konsol Nintendo Switch pertama yang dilancarkan pada tahun 2017. Apabila wabak COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020, konsol tersebut dilihat merupakan salah satu daripada produk-produk yang paling laris dalam pasaran.

Beliau juga mengatakan bahawa ia penting untuk Nintendo memperkenalkan permainan khusus untuk konsol tersebut, dimana buat masa ini dilihat hanya hadir dengan Mario Kart sahaja. Ia dijangka bahawa Nintendo akan memperkenalkan permainan-permainan video lain khusus untuk konsol Nintendo Switch 2 sewaktu acara Nintendo Direct kelak.
Walaupun begitu, salah satu kelebihan utama konsol baru ini ialah sokongan untuk permainan-permainan Nintendo Switch, jadi walaupun pengguna Switch pertama membeli konsol ini, mereka boleh terus memainkan permainan-permainan yang sudahpun dimiliki terlebih dahulu.
Selain daripada permainan, tanda harga Nintendo Switch 2 ini juga akan diperlihatkan sewaktu acara Nintendo Direct kelak.


