Nintendo Switch 2 akan dijual pada 5 Jun depan dan ia diramalkan menjadi antara produk paling hangat di pasaran khususnya di kalangan gamer. Mereka yang berminat membeli boleh melakukan pra-pesanan pada bulan Mei. Bagi mengelakkan stok awal konsol mudah alih ini dirampas golongan yang ingin menjualnya semula pada harga mahal atau lebih dikenali sebagai scalper, Nintendo telah meletakkan syarat yang unik ke atas semua pembeli.

Pra-pesanan Switch 2 menerusi Nintendo di Amerika Syarikat hanya boleh dilakukan jika akaun pembeli didapati menghabiskan sekurang-kurangnya 50 jam pada konsol Switch pada 2 April 2025. Selain itu pembeli yang mempunyai rekod langganan Switch Online sekurang-kurangnya 12 bulan akan diberikan prioriti berbanding pelanggan lain. Mereka yang layak akan menerima jemputan melakukan pra-pesanan pada 8 Mei depan. Nintendo Switch 2 dijual pada harga $450 (~RM 2017) sebuah tetapi harga Malaysia belum lagi diumumkan.
Dengan dua syarat ini Nintendo berharap hanya peminat sebenar akan dapat membeli Switch 2 dan bukannya golongan kapitalis oportunis. Kegiatan scalper menyebabkan harga jualan PlayStation 5 menjadi luar biasa sepanjang dua tahun pertama konsol dilancarkan. Hanya selepas pengeluar dipertingkatkan pasca pandemik, isu ini selesai dan harga konsol akhirnya selari dengan RRP Sony.
