NIOSH perkukuh program Latihan KKP untuk kebajikan pekerja

3 Jan 2024 • 3:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus mengukuhkan program Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan sumber manusia negara terbela, kata Menterinya Steven Sim Chee Keong (gambar).

Beliau berkata agensi KSM iaitu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menerajui usaha berkenaan menerusi pelbagai program latihan berkaitan KKP.

“NIOSH memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin,“ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan NIOSH sempena lawatannya ke ibu pejabat institut berkenaan di Bangi hari ini.

Beliau turut bertekad untuk menyegerakan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022, susulan beberapa kes bencana kerja yang meragut nyawa baru-baru ini.

NIOSH dalam kenyataan itu berkata pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk menyertai latihan yang ditawarkan khususnya melibatkan KKP.

Menurutnya sehubungan itu NIOSH sedang menaik taraf program latihan sedia ada bagi memenuhi keperluan industri serta memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program-program latihan yang dianjurkannya. -Bernama