Nisbah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Pindaan Perlembagaan belum ada tarikh - Mustapha

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nisbah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Pindaan Perlembagaan belum ada tarikh - Mustapha
Mustapha pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan atau pelaksanaan untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, meskipun cadangan itu telah dipersetujui secara prinsip.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya selain rundingan dengan pihak berkepentingan.

Menurut beliau, pelaksanaan cadangan yang selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia itu akan dibuat secara berperingkat menerusi tiga fasa utama iaitu penyelarasan, perundangan dan pelaksanaan.

“Pada peringkat penyelarasan, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah memulakan sesi libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 September lalu.

“Cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 turut dikemukakan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai garis masa pelaksanaan keputusan MTPMA63 terutama berkaitan penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu memaklumkan, kerajaan bersetuju pada prinsipnya untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selaras dengan kedudukan kedua-dua wilayah itu dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pada peringkat perundangan, cadangan penambahan kerusi itu memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, pindaan berkenaan perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat sebelum dapat dimuktamadkan.

“Bagi peringkat pelaksanaan pula, selepas pindaan dimuktamadkan, SPR akan melaksanakan proses kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut Perkara 113 dan Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved