
TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyangkal dakwaan pemimpin politik tertentu kononnya kerajaan negeri tidak stabil.
Menurutnya, sokongan Wakil Rakyat terhadap kerajaan negeri semakin bertambah sudah hampir mencecah kira-kira 50 orang dan lebih daripada separuh Adun yang ada di Sabah.
Tegasnya, kerajaan Sabah di bawah kepimpinan ketua menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semakin stabil.
“Perkara ini jelas apabila kerajaan negeri mendapat sokongan daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri ketika terdapat cubaan untuk membentuk kerajaan pintu belakang sebelum ini, malah jumlah sokongan semakin bertambah ketika ini,” katanya.
SPONSORED CONTENT Appreciating the past, preserving the present: A journey into the Orang Asli’s arts, culture THE Orang Asli's art is more than just a creative outlet, it also reflects their enduring ties to their homeland, identity, and culture. Read more Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Adun Apas berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Asas Kepimpinan Wanita Akar Umbi dan Pemimpin Politik, di sini, Selasa lepas.
Hadir sama, Pengerusi Induk Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Aziriansyah Ali.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan melayan kerenah pemimpin politik yang hanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat dan kini hanya mahu terus fokus untuk membangunkan Sabah serta memperbaiki segala kekurangan.
Katanya, kerajaan sudah menunjukkan kemampuan selama memimpin negeri ini dengan baik dan banyak lagi agenda yang sudah dirancang agar Sabah terus membangun.
“Saya ingin menasihatkan pemimpin politik di negeri ini supaya jangan terlalu banyak bermain politik, sehingga lupa tanggungjawab yang sepatutnya untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan negara,” katanya.
Mengenai program itu, Nizam berkata kursus yang disertai hampir 100 wanita dari Tawau, Kalabakan, Lahad Datu, Semporna dan Sandakan itu dilihat sangat bermanfaat kerana dapat memberi ilmu pengetahuan kepada wanita tentang peranan mereka.
Katanya, kerajaan mengiktiraf golongan wanita kerana mereka juga turut banyak membantu dan memainkan peranan dalam pembangunan negara.
Justeru, beliau menggesa golongan wanita agar bergerak aktif bersama-sama dengan kepimpinan dan kerajaan yang ada kerana pandangan mereka sangat diperlukan dalam memajukan negara.
“Kita mahu orang luar beranggapan bahawa wanita yang ada di negara ini sebagai golongan profesional dan mampu menjadi pemimpin politik yang disegani,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

