PADANG BESAR - Meskipun aksi kejar mengejar berlaku sejauh 10 kilometer namun pihak berkuasa berjaya menahan tiga buah kereta sewa yang membawa muatan 1,200kg daun ketum bernilai RM219,000.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pada jam 11 malam semalam sepasukan Anggota Kawalan Sempadan (Aksem) telah ternampak tiga buah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih yang dinaiki lima lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kilang Gula.
Katanya, anggota Aksem mengejar kereta berkenaan selama 30 minit dan berjaya menahan tiga buah kereta berkenaan di Jalan Padang Tebuan, Kubang Tiga.
"Hasil pemeriksaan kita menjumpai 400 kilogram (kg) daun ketum dalam setiap buah kereta berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan 1,200kg.
"Kereta berkenaan dipercayai disewa dari Kuala Perlis untuk membawa daun ketum berkenaan ke pasaran Thailand dengan melalui laluan tikus dengan jumlah upah RM2 sekilogram," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Padang Besar, hari ini.
Menurut Surina, lelaki tempatan berusia 20 hingga 38 tahun itu direman empat hari bermula hari ini dan akan dikenakan penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tambah Surina, suspek mendapatkan bekalan dari negeri Kedah dan baru sahaja bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan daun ketum ini.
"Kes akan disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

