Nkunku rehat panjang di Stamford Bridge

Football
9 Aug 2023 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nkunku

CHELSEA terpaksa melupakan khidmat penyerang Christopher Nkunku selepas pemain Perancis itu menjalani pembedahan lutut yang memaksanya berehat untuk satu tempoh panjang.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai The Blues pada Jun dari RB Leipzig dengan nilai 63 juta pound.

BBC dan The Telegraph pula melaporkan bahawa Nkunku akan direhatkan sehingga empat bulan.

Dia dijangka menerajui penampilan baharu Chelsea musim ini di bawah pengurusan Mauricio Pochettino.

Perkhabaran itu tamparan beberapa hari sebelum Chelsea memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Stadium Stamford Bridge pada Ahad

Dalam satu kenyataan, Chelsea berkata: "Nkunku telah mengalami kecederaan lutut yang berkemungkinan menyaksikan penyerang itu berehat untuk tempoh yang panjang.

"Pemain berusia 25 tahun itu telah menjalani pembedahan dan kini akan memulakan program pemulihan dengan jabatan perubatan kelab."

Nkunku yang terlepas perlawanan akhir Piala Dunia tahun lalu kerana masalah lutut kiri, mengalami kecederaan semasa perlawanan persahabatan pramusim menentang Borussia Dortmund di Chicago minggu lalu.

Dalam pada itu, Pochettino menyifatkan padang di Soldier Field sebagai tidak sempurna, namun mengakui itu adalah risiko semasa Siri Jelajah Amerika Syarikat yang bermain di atas permukaan direka untuk kegunaan pelbagai sukan.

Sebagai rekod, Chelsea memasuki jendela perpindahan pemain dengan merekrut lebih ramai para pemain yang mampu menjelmakan gol dalam membina kembali kekuatan kelab.

Jentera serangan kelab London itu hanya meledak sebanyak 38 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu menyumbang kepada penamat di tangga ke-12 yang terendah sejak 1994.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved