
KUALA LUMPUR - Penyandang Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad hampir pasti mengekalkan jawatan tersebut pada pemilihan sayap parti berkenaan bagi penggal kedua.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Noraini mendahului dengan 106 undi daripada 189 bahagian berbanding pencabar yang juga bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula selepas tidak mempertahankan jawatan tersebut pada 2018.
Pertembungan dua penjuru itu dilihat sengit dengan kedudukan silih berganti mendahului sepanjang keputusan dikemas kini sejak daripada sebelah petang Sabtu.
Untuk rekod, Noraini menerajui sayap UMNO itu sejak 2018 hingga 2021.
Shahrizat pula memimpin Wanita UMNO selama 11 tahun bermula 2008 hingga 2018.
