
KUALA LUMPUR – Penyanyi Noraniza Idris menyimpan rasa terkilan apabila karya yang dihasilkan komposer, Allahyarham Pak Ngah khas buat dirinya tidak sempat direalisasikan seperti dirancang.
Noraniza, 58, atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, lagu berkenaan siap dirakam namun kesibukan menyukarkannya berbincang semula dengan Pak Ngah mengakibatkan karya berkenaan diserahkan kepada penyanyi lain.
“Sebenarnya waktu itu saya memang sudah lama tak dapat lagu sentuhan Pak Ngah, jadi saya minta suami berjumpa Pak Ngah balik sebab nak dapatkan satu karya daripada beliau.
“Lagu itu dah siap. Saya pun rakam ‘raw’ sebelum masukkan ‘bunyi’ lain. Hasilnya bagus, saya bangga dan tidak sabar masuk studio lagk tetapi kekangan kerja membuatkan kami tak dapat berbincang.
“Mungkin dia dah lama tunggu, ada sesuatu yang tersimpan. Akhirnya, dia lagu itu kepada orang lain. Saya terkilan juga tapi berlapang dada,” katanya pada majlis Forum Apresiasi Seni Adikarya Pak Ngah di Aswara, baru-baru ini.
Menurut Ratu Irama Malaysia itu, pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih memahami sisi peribadi Allahyarham yang disifatkan sebagai seniman sensitif serta amat menghargai hubungan rapat dengan insan yang pernah bekerja dengannya.
Jelasnya, Pak Ngah juga mempunyai cara tersendiri dalam meluahkan perasaan dan tidak menunjukkan rasa kurang puas hati menerusi kemarahan.
“Bagi saya, kalau Pak Ngah marah, biarlah dia marah berbakul-bakul. Jangan dia diam sebab kalau diam, memang boleh meresap ke kalbu sampai kita sendiri tak tahu nak buat apa.
“Orang seni ini ada cara tersendiri meluahkan perasaan. Kalau Pak Ngah cakap dia tidak suka, maknanya kita kena buat sampai dia suka.
“Tetapi kalau dia dah sebut ‘terpulang’, kita kena fikir sendiri bagaimana hendak memenangi semula hatinya,” ujarnya.
Perkongsian mengenai Allahyarham juga individu bertanggungjawab memartabatkan irama etnik tradisional tempatan itu dibicarakan Noraniza bersama rakan seperjuangan, Datuk Ramli MS.
Selain Noraniza, karya sentuhan penggubah lagu irama Malaysia tersohor itu turut sinonim dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Allahyarham atau nama sebenarnya, Datuk Suhaimi Mohd. Zain, 60, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada 25 September 2018. – KOSMO! ONLINE
The post Noraniza terkilan tak sempurnakan amanah Pak Ngah appeared first on Kosmo Online.


