Northeast berpotensi catat untung bersih sehingga RM10.5 juta pada 2HFY25 dipacu peningkatan tempahan - UOBKH

22/07/2025 - 11:17
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Julai - Pengeluar komponen mekanikal berketepatan tinggi, Northeast Group Bhd berpotensi mencatatkan untung bersih antara RM9.5 juta hingga RM10.5 juta pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) dipacu peningkatan tempahan, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu turut meningkatkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak 24%, hasil daripada anggaran tempahan yang lebih tinggi berdasarkan campuran produk yang lebih baik.
"Kami menjangkakan hasil dan untung bersih bagi FY26 akan meningkat sebanyak 31% dan 52% didorong pemulihan kitaran industri serta kepentingan yang semakin meningkat dalam kemajuan teknologi pelanggan-pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu turut mengetengahkan rancangan pengembangan Northeast dalam tempoh tiga tahun akan datang, yang berpotensi menggandakan kapasiti pengeluarannya dan menyatakan, saham syarikat itu masih menikmati penilaian yang baik.
“Walaupun harga saham telah melonjak sebanyak 91% sejak 25 April, penilaian Northeast masih menarik, disokong peningkatan keterlihatan daripada aktiviti ‘onshoring’ pelanggan utama,” katanya.
“Pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 18 kali bagi FY26, Northeast terus menonjol sebagai antara penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu yang paling kurang dinilai di pasaran," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran pertumbuhan yang kukuh, permintaan yang tidak anjal walaupun berdepan cabaran dasar, serta momentum pemulihan dalam segmen utama turut memperkukuh asas pelaburan bagi Northeast.
Katanya, Northeast mengkhusus dalam pembuatan komponen kejuruteraan berketepatan tinggi yang digunakan dalam industri elektrik dan elektronik, optoelektronik, fotonik, semikonduktor, dan telekomunikasi.
Buku tempahan syarikat kini berjumlah sekitar RM32 juta, dengan kadar penambahan tempahan sekitar RM10 juta sebulan, menunjukkan permintaan asas yang kukuh.
Pada tahun kewangan 2023 (FY23), Northeast berjaya mengekalkan margin yang baik walaupun beroperasi pada kadar penggunaan sebanyak 65% hingga 73%, dan ketika industri mengalami kemelesetan yang menyebabkan hasil dan keuntungan bersihnya merosot masing-masing sebanyak 35% dan 51%.
Ini adalah hasil daripada hasil pengeluaran yang tinggi dan pendedahan strategik kepada portfolio yang kukuh.
UOBKH menjangkakan kadar penggunaan yang lebih baik serta potensi peningkatan hasil berikutan keupayaan baru kumpulan dalam perkhidmatan bilik bersih dan permintaan yang semakin meningkat untuk rangkaian selular baharu.
- DagangNews.com
standard
