
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2025 – Buat julung kalinya, peminat arena permotoran di utara tanah air digegarkan dengan penganjuran karnival automotif terbesar, Northern Festival Of Speed (NFOS), anjuran Northern Speedo dan Choii Motorsports dengan kerjasama penuh PMH (Perniagaan Mazlan & Hashimah) selaku penaja utama serta sokongan rakan penaja lain.

Festival ini berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober 2025 (Jumaat – Ahad) di PICCA Butterworth, Pulau Pinang, dan dijangka menarik kehadiran lebih 70,000 pengunjung. NFOS menampilkan pelbagai aktiviti menarik merangkumi pameran gaya hidup, automotif, hiburan serta aktiviti kekeluargaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, berkata pihaknya berbangga menjadi penaja utama NFOS sebagai tanda sokongan terhadap industri automotif tanah air.
“Kami sanggup berbelanja besar untuk menjayakan festival ini kerana ia memberi manfaat besar kepada anak muda, pencinta automotif dan seluruh masyarakat. NFOS bukan sekadar pameran, tetapi platform untuk memupuk minat generasi baharu terhadap dunia permotoran, di samping menampilkan koleksi kereta ‘rare’ dan eksklusif dari pelbagai negara.
“Selain itu, PMH turut membuka booth pameran dan jualan kereta import recond, serta memperkenalkan motosikal elektrik (EV) bumiputera, LION G1 GGR EV, yang kini semakin mendapat permintaan. Pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat, mencuba pandu uji dan merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal EV ini,” katanya.
PMH dan GGR turut menyatakan komitmen untuk menyokong penuh usaha kerajaan dalam memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.
“Automotif dunia kini menuju ke arah teknologi hijau dan EV. Visi kerajaan juga seiring dengan misi tersebut. PMH dan GGR mahu menjadi antara pelaksana utama dalam mendidik masyarakat mengenai kelebihan EV yang mesra alam, menjimatkan dan berteknologi tinggi, selaras dengan matlamat Go Green Revolution,” tambah Izwan.
PICCA Butterworth dipilih sebagai lokasi kerana ruangnya yang luas dan mampu menampung ribuan pengunjung. Festival ini turut mendapat sokongan ramai pempengaruh automotif seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc, Alie Kuoppa, Abe Mey Sarman Printing, Narock, Bateriku, ESR dan ramai lagi. Malah, kehadiran peminat kereta dari Thailand dan Singapura turut menyerikan suasana dengan pelbagai aktiviti seperti drift show, pertunjukan kereta rare dan pelbagai acara lain yang mencuri perhatian.
Lebih menarik, NFOS 2025 menawarkan cabutan bertuah terbesar dengan tiga kereta sebagai hadiah utama iaitu:

- Mercedes A-Class W177 (Unregister) bernilai RM200,000
- Nissan 350Z
- Honda Civic FD
Dengan hanya tiket masuk RM15, pengunjung dapat menikmati pameran kereta unik, menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti limbo stance, 2 step competition, games, taxi drift, demo drift, car show, car meet, booth jualan merchandise, selain konsert artis popular seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe, K.O.I dan ramai lagi.
Program ini berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam sepanjang tiga hari. Acara kemuncak akan diadakan pada Ahad, melibatkan penutup rasmi festival serta pengumuman pemenang hadiah utama cabutan bertuah.

Menurut penganjur bersama, Faris Azri (Choii Motorsports) dan Muhammad Hadzimi (Northern Speedo), mereka optimis NFOS akan menjadi festival automotif paling meriah di utara tanah air dengan sasaran lebih 70,000 pengunjung.




The post Northern Festival Of Speed Sasarkan 70,000 Pengunjung Serbu PICCA appeared first on TW Media.
