Northern International Audio & Visual Show (NIAV), salah satu daripada acara produk-produk audio terbesar di Malaysia akan kembali ke Pulau Pinang di Setia SPICE Convention Centre pada 25 sehingga 27 April 2025 ini.
Acara NIAV pada tahun ini akan memperlihatkan sekitar 125 jenama audio terkemuka dari negara-negara seperti Singapura, China, Lithuania, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Itali, Switzerland dan sebagainya sepanjang tiga hari tersebut.

Selain daripada reruai jenama-jenama audio, acara NIAV juga akan mengadakan program-program untuk jurutera audio profesional, demonstrasi produk dan perkongsian pengalaman berkaitan trend industri dan juga teknologi-teknologi audio terbaru.
Untuk tiga hari, acara NIAV akan berlangsung dari 10 pagi sehingga ke 6 petang dan semua orang dijemput menghadiri acara ini, yang akan diadakan secara percuma untuk orang ramai. Selain daripada itu, penyanyi jazz terkemuka dari Jepun, Nao Yoshioka juga akan memberi persembahan pada 25 dan 26 April 2025 dari 7.30 petang sehingga 9.30 malam, juga secara percuma.

Acara NIAV 2025 adalah kali ketiga acara ini diadakan, dan ia merupakan satu acara yang menarik minat bukan sahaja penggemar produk audiofil, tetapi juga jurutera audio profesional dan artis-artis yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan terbaru teknologi audio.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara ini, anda boleh ke laman web NIAV.



